Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Tak ada rombakan kabinet selagi saya tak umumkan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata tidak akan ada rombakan kabinet setakat ini, sebaliknya tumpuan kerajaan kini kepada isu yang mencengkam rakyat terutamanya bencana banjir dan pandemik Covid-19.

Menyifatkan isu rombakan kabinet hanya spekulasi semata-mata, dia berkata perkara itu tidak sepatutnya timbul memandangkan negara masih dilanda bencana banjir dan Covid-19 yang belum selesai.

"Nama-nama tu macam-macam nama yang keluarlah... macam biasalah, dulu pun macam tu juga. Saya dah beritahu tadi, fokus saya sekarang adalah untuk banjir, jadi saya tak nak bercakap pun soal ada ke tak ada (rombakan kabinet), setakat ini selagi saya tak umumkan, tak adalah (rombakan kabinet)," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan kepada 55 ketua isi rumah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa di Alor Gajah, Melaka, berikutan banjir yang kembali melanda negeri itu sejak Sabtu lepas.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Kamel Mohamad.

Sejak kebelakangan ini, timbul desas-desus bahawa Ismail Sabri akan melakukan rombakan Kabinet dengan melantik seorang timbalan perdana menteri dan menggugurkan tiga menteri daripada jawatan yang disandang mereka.

-Bernama