P Pinang fail semakan kehakiman tuntut semula kelulusan projek tambak laut
Kerajaan Pulau Pinang memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan semula lampu hijau bagi projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).
Semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Disember lalu.
Ia menamakan lembaga rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS), ketua pengarah kualiti alam sekeliling JAS dan kerajaan persekutuan selaku responden pertama, kedua dan ketiga.
Pada 8 September 2021, lembaga rayuan JAS dilaporkan membatalkan kelulusan terhadap laporan impak alam sekitar (EIA) projek tersebut.
Ia selepas rayuan pemimpin komuniti nelayan di Sungai Batu, Zakaria Ismail diluluskan. Sungai Batu terletak di pesisir selatan Pulau Pinang.
Menurut peguam Meenakshi Raman, lembaga rayuan JAS berpandangan “pramatang” bagi ketua pengarah jabatan itu meluluskan EIA berdasarkan Pelan Struktur Pulau Pinang 2030 bahkan sebelum rancangan itu diwartakan secara rasmi.
Jabatan tersebut telah meluluskan laporan EIA untuk projek kerajaan negeri pada 25 Jun 2019.
Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 diwartakan empat bulan kemudian, pada 24 Oktober 2019.
Menurut afidavit sokongan untuk semakan kehakiman yang dibuat oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Azhar Arshad, kerajaan negeri berkata responden pertama telah melangkaui kuasanya ketika mengeluarkan pembatalan kelulusan projek.
Kerajaan negeri juga berkata pembatalan itu dibuat berdasarkan asas fakta yang salah.
Lembaga rayuan JAS juga didakwa kerajaan gagal memanggil Azhar untuk memberi hujahan ketika pendengaran rayuan Zakaria, walaupun dia sebagai pihak yang terkesan secara langsung ekoran pembatalan itu.
"Responden pertama gagal mempertimbang bahawa kelulusan EIA oleh responden kedua pada 25 Jun 2019 tertakluk kepada 72 syarat, yang mana pemohon masih boleh diberi ruang untuk memperbaiki laporan EIA tanpa perlu responden pertama membatalkan kelulusan oleh responden kedua secara keseluruhan,” menurut afidavit itu lagi.
Seluas 2,550 padang bola
Menerusi semakan kehakiman ini, kerajaan Pulau Pinang memohon arahan certiorari untuk mematalkan keputusan lembaga rayuan JAS untuk membatalkan kelulusan, yang dibuat 8 September lalu.
Kerajaan negeri juga menuntut arahan mandamus agar responden pertama mendengar dan meneliti semula bantahan awal dan memanggil pemohon sebagai pihak yang terkesan dalam laporan EIA semasa prosiding bantahan awal didengar semula oleh lembaga rayuan JAS.
PSR melibatkan penambakan tiga pulau buatan untuk membina kawasan perindustrian, tarikan pelancongan, hab pendidikan dan projek perumahan.
Ia melibatkan keluasan 1,821 hektar, iaitu bersamaan kira-kira 2,550 padang bola sepak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai