‘Hentikan segera pembalakan, dengar suara rakyat’
Beberapa NGO hari ini tampil mendesak kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya mengenakan moratorium atau pemberhentian segara terhadap sebarang aktiviti pembalakan susulan banjir besar yang terus melanda negara.
Bagi mendapat sokongan rakyat itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) memulakan inisiatif petisyen online.
“Inisiatif ini adalah untuk menggesa supaya pihak kerajaan mengenakan moratorium atau pemberhentian segara terhadap sebarang aktiviti pembalakan buat masa ini.
“Petisyen yang dilancarkan telah mencapai lebih 200,000 penandatangan dan ia mengabsahkan tuntutan serta kekhuatiran rakyat terhadap aktiviti pembalakan yang jelas memusnahkan alam serta mengakibatkan lebih banyak bencana kepada negara,” kata Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan mereka itu merujuk kepada bencana yang berlaku sejak kebelangan ini khususnya banjir besar yang masih berterusan hingga hari ini.
“Abim menegaskan bencana yang berlaku di luar jangka ini punya perkaitan rapat dengan situasi perubahan iklim yang berlaku.
“Perubahan iklim menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku sekarang dengan keadaan ketidakbolehjangkaan berlakunya sesuatu musim mengikut masa kebiasaan.
“Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa. Maka, ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi,” katanya.
Muhammad Faisal yang juga adalah penyelaras Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN) berkata, perubahan iklim yang melanda adalah akibat dari kerosakan serta kemusnahan alam yang dilakukan khususnya menerusi aktiviti pembalakan.
“Sementara itu, hutan adalah kaedah paling murah dan paling berkesan dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim ini.
“Hutan amat berkesan dengan memerangkap karbon diaoksida iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan iklim,” katanya.
Sehingga hari ini, banjir terus dilaporkan di sebahagian besar negeri di seluruh negara. Antara yang paling teruk terjejas adalah di Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Abim turut menyambut baik arahan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada 3 Januari lalu untuk menangguhkan sementara aktiviti pengusahasilan hutan dan pengankutan kayu balak.
“Arahan ini seharusnya diikuti oleh pihak berkuasa di negeri-negeri lain seluruh negara bagi memastikan usaha memelihara alam ini dapat dijayakan secara holistik dan berkesan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai