Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun baiki sendiri jalan rosak selepas tiada tindakan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kecewa dengan tindakan terlalu perlahan pihak berkuasa membaiki jalan rosak di sepanjang Jalan Beserah, dekat Kuantan, ahli dewan undangan negeri (Adun) Teruntum, Sim Chon Siang hari ini bertindak menampal sendiri jalan yang berlubang itu.

Sim sebelum itu meninjau jalan berkenaan pagi semalam dan sebaik menyedari masalah terbabit belum diuruskan pihak berkenaan, dia menggunakan penyodok dan menampal jalan berlubang berkenaan dengan batu kerikil dan pasir.

Selain membaiki sendiri jalan terbabit, dia turut membantu mengawal lalu lintas berhampiran laluan berkenaan bagi mengelak kenderaan melanggar jalan berlubang itu.

"Saya sudah meninjau laluan ini sejak malam Ahad lalu sekitar jam 10 malam dan ketika itu, saya nampak ada tiga anggota polis sedang cuba membaiki jalan berlubang dengan meletakkan batu kecil.

"Perkara ini saya maklumkan kepada kontraktor yang menjalankan kerja pemasangan paip kumbahan sekitar bandar raya Kuantan untuk mereka ambil tindakan segera, namun apabila saya datang (tinjau) pagi semalam, lubang itu belum diperbaiki," katanya ketika dihubungi di Kuantan hari ini.

Adun PKR itu berkata, tiga kejadian membabitkan penunggang motosikal terlanggar lubang di laluan berkenaan dilaporkan sebelum ini dan jika tindakan segera tidak dilakukan, dia khuatir lebih banyak kemalangan akan berlaku di laluan terbabit.

"Saya ambil keputusan untuk buat sendiri (baiki) guna penyodok dan isi lubang itu dengan batu dan pasir," katanya.

Sim berkata lubang itu muncul selepas hujan lebat baru-baru dan berada beberapa meter dari projek loji rawatan pembetungan berpusat di sepanjang Jalan Beserah, di Kuantan.