Skip to main
Logo Malaysiakini

Mangsa banjir diingatkan tak tertipu sindiket minta bayaran bagi bantuan banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mengenakan bayaran sehingga RM200 terhadap mangsa banjir di Selangor, untuk setiap borang permohonan bantuan pengurusan banjir di negeri itu.

Menurut Adun Sentosa Dr Gunaraj George, laporan polis telah dibuat terhadap sindiket yang telah dikesan aktif di daerah Klang dan mensasarkan golongan warga emas serta ibu tunggal itu.

“Satu laporan polis telah dibuat berkaitan perkara ini bagi mencegah sindiket yang bergerak dan mengambil kesempatan terhadap rakyat marhaen.

“Susulan itu, saya menyeru agar semua warga Selangor untuk berhati-hati dengan tipu helah sesetengah pihak yang kononnya ingin membantu namun mempunyai tipu muslihat disebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, setiap Pusat Khidmat Masyarakat DUN di Selangor bekerja keras membantu masyarakat yang terjejas menguruskan permohonan bantuan bencana banjir secara percuma.

Tambahnya, kerjasama yang erat antara Pejabat Adun dan Pejabat Tanah dan Daerah membolehkan segala urusan permohonan bantuan bencana banjir berjalan dengan baik dan lancar.

Gunaraj yang juga merupakan ketua cabang PKR Kota Raja turut mengingatkan warga Selangor yang terjejas dengan bencana banjir pada 18 Disember lalu untuk berhubung terus dengan pejabat Adun dan Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing bagi mendapatkan sebarang bantuan dan sokongan.

“Kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan pemberian bantuan wang tunai RM1,000 dalam pakej Bantuan Selangor Bangkit kepada semua ketua isi rumah yang terkesan akibat musibah banjir ini.

“Namun perkara yang mendukacitakan adalah terdapat segelintir pihak cuba menangguk di air yang keruh saat rakyat dalam kesempitan,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh ketua Komuniti India DUN Sentosa Thangarajah Abdul @ Kassim bertarikh 2 Januari melaporkan bahawa terdapat beberapa lelaki dan wanita yang melakukan kegiatan mengutip surat untuk bantuan banjir di kedai makan di Taman Sentosa, Klang.

Menurut Thanagarajah, aduan yang diperoleh dari penduduk kawasan setempat itu mendapati bahawa tujuan itu dibuat dengan alasan mempercepatkan proses mendapatkan wang bantuan banjir.