Skip to main
Logo Malaysiakini

Kit Siang: LPPR tiada kuasa bersihkan nama Azam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menyifatkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM melangkaui skop kuasanya apabila bertindak membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada dakwaan konflik kepentingan.

Jelas Lim, LPPR tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“LPPR bertindak secara ultra vires (melangkaui skop kuasa) dalam membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada dakwaan konflik kepentingan sedangkan lembaga pengarah tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Seksyen 13 Akta SPRM 2009 menetapkan enam fungsi LPPR SPRM dan tiada satu pun daripadanya memberi kuasa untuk membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada dakwaan konflik kepentingan,” katanya yang menyenaraikan keenam-enam fungsi LPPR.

Enam fungsi yang disenaraikan Lim ialah:

(1) Untuk menasihati Suruhanjaya tentang apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia;

(2) Untuk menasihati Suruhanjaya tentang dasar dan strategi Suruhanjaya dalam usahanya untuk membanteras rasuah;

(3) Untuk menerima, meneliti dan menyokong cadangan daripada Suruhanjaya ke arah perjalanan cekap dan berkesan Suruhanjaya;

(4) Untuk meneliti dan menyokong keperluan sumber Suruhanjaya untuk memastikan keberkesanannya;

(5) Untuk meneliti laporan tahunan Suruhanjaya sebelum dikemukakan kepada Jawantankuasa Khas Mengenai Rasuah; dan

(6) Untuk mengemukakan ulasannya tentang perjalanan oleh Suruhanjaya sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah

Justeru, Lim menegaskan bahawa siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap dakwaan pemilikan saham Azam.

“Azam harus bercuti dan menyerahkan dirinya kepada siasatan penuh oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, di mana Azam, adiknya (Nasir Baki), pihak yang terkait dalam dakwaan konflik kepentingan Azam diberi peluang sepenuhnya untuk membela diri mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu sidang media khas semalam, LPPR SPRM menjelaskan bahawa mereka telah dimaklumkan oleh Azam yang mendakwa akaun trading miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir, untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang yang turut hadir dalam sidang media yang sama berkata Azam telah hadir dalam satu pertemuan dengan lembaga itu pada 24 November lalu untuk memberikan penjelasan.

Kata Abu Zahar, mereka telah berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tidak mempunyai manfaat kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Abu Zahar berkata lembaga itu berhasrat mendedahkan perkara itu kepada umum, tetapi bekas anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Sementara itu, Lim menambah, Azam tersilap apabila mendakwa dia hanya bertanggungjawab kepada LPPR SPRM.

Kata Lim, Azam juga perlu bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia melalui Parlimen dan perantara lain atas integriti dan prestasinya.

“Pengakuan tidak bersalah Azam bukanlah jawapan kepada dakwaan konflik kepentingan yang telah dibuat secara terbuka terhadapnya lebih dua bulan lalu.

“Perlu ada mekanisme penyiasatan yang betul dan memuaskan mengenai dakwaan konflik kepentingan sebelum Azam dibersihkan daripada dakwaan tersebut,” kata Lim.