ULASAN | Malu sudah hilang di Malaysia
Apabila Najib Razak ditegur kerana menyalahgunakan kuasa dan mencuri duit kerajaan, dia akan cuba mengalih perhatian daripada kesalahannya dengan menuduh bahawa saya sebagai perdana menteri juga berbuat perkara yang sama.
Semasa dia menjadi perdana menteri satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kononnya saya menyembunyikan kehilangan RM30 bilion oleh Bank Negara.
Tetapi RCI itu tidak dapat membuktikan yang saya menyembunyikan kehilangan itu. Bank Negara tidak dikehendaki melaporkan kepada saya akaun Bank Negara. Adalah mustahil bank melapor kehilangan RM30 bilion itu dan meminta saya merahsiakan kehilangannya.
Akaun Bank Negara diaudit dan juruaudit tentu dapat mengesan yang bank menyembunyikan kehilangan ini jika benar dan akan melaporkannya. Jika tidak, pihak audit tentu bersalah kerana tidak melaporkan kehilangan tersebut.
Sementara Najib didapati memasukkan wang ke dalam akaunnya, tidak ada satu sen pun daripada wang yang dikatakan disembunyikan itu masuk akaun saya.
Akhirnya Najib didapati bersalah kerana bukti menunjuk yang dia mempunyai hampir satu billion dalam akaunnya. Dan dia dihukum penjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.
Tidak ada persamaan di antara jenayah yang dilakukan oleh Najib dengan kononnya saya menyembunyikan kehilangan duit Bank Negara sebanyak RM30 bilion.
Perlu bayar ganti rugi
Dia merayu kepada Mahkamah Rayuan tetapi hakim bersetuju dengan keputusan mahkamah tinggi bahawa Najib bersalah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikena kepada Najib diteruskan.
Sekarang Najib cuba memburukkan nama saya kerana semasa dalam parti lawan saya menolak projek Forest City di Johor. Projek ini bertujuan membangunkan sebuah bandar mewah dalam Selat Tebrau dengan menebus guna tanah.
Perancangan yang diluluskan ialah untuk membangunkan bandar mewah yang mampu dibeli hanya oleh jutawan dari China. Pemilikan tanah adalah secara kekal. Bandar itu pula akan diberi taraf bebas cukai.
Walaupun penduduk bukan warganegara Malaysia tetapi mereka bebas ke tanah besar Malaysia atau ke Singapura.
Saya telah lawat projek itu. Pekerjanya kebanyakan dari China. Berduyun-duyun pelawat datang dari China semasa saya buat lawatan. Mereka datang untuk membeli rumah-rumah mewah yang akan dibina.
Pelawat warga Malaysia tidak pun sampai 20 orang. Mereka adalah pelancong yang ingin melihat taman yang cantik yang sudah siap dibina.
Seperti biasa jika projek itu ditamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ganti rugi beberapa billion ringgit perlu dibayar.
Kerana Najib telah berhutang berbilion ringgit, kerajaannnya terpaksa mendapat bantuan swasta sebanyak RM2 bilion untuk membayar faedah hutang. Yang mampu dibuat oleh kerajaan PH ialah menasihatkan Country Garden supaya rumah kos rendah yang boleh dibeli oleh orang Melayu dan Cina Malaysia perlu disediakan. Country Garden akur.
Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengadakan majlis perasmian Dasar Komuniti Negara pada 17 Feb 2019. Saya dijemput untuk menyampaikan sijil kepada - antara lain - Forest City kerana mengubah perancangan mengikut kehendak kerajaan Malaysia.
Ia bukan pengiktirafan projek Forest City yang telah pun dilulus oleh kerajaan Najib Razak.
Baca Najib label Dr M rasis, pembohong ekoran isu Forest City
Berkenaan dengan projek Rangkaian Keret Api Pantai Timur (ECRL), sekali lagi ia tidak dapat ditamatkan kerana perjanjian telah dibuat. Yang boleh dilakukan ialah mengurang kos projek. Kerajaan PH dapat menyelamatkan RM20 bilion melalui rundingan dengan pihak kontraktor.
Hasil daripada pemerintahan kerajaan Najib, hutang negara melebihi satu trilion ringgit. Masih ada tuduhan yang Najib telah menyeleweng berbilion ringgit lagi dari wang 1MDB. Najib juga dapat RM150 juta yang dirampas di Pavillion yang dipercayai milik 1MDB.
Tetapi mahkamah membuat keputusan untuk memberikan semula kepada Najib wang ini dan barang-barang lain kerana orang ramai diberitahu kerajaan tidak dapat membuktikan yang duit itu duit 1MDB, iaitu duit kerajaan.
Tentulah jelas Najib memiliki berbilion ringgit. Tetapi Najib masih buat permohonan supaya dihadiahkan tanah dan rumah yang bernilai RM100 juta. Najib sendiri pilih tanah tersebut.
Selain daripada membebankan kerajaan sekarang dan akan datang dengan hutang berbilion ringgit, apakah yang dilakukan oleh Najib yang melayakkannya diberi hadiah RMRM100 juta?
Perdana menteri lain tidak diberi hadiah oleh kerajaan sebanyak ini. Hingga sekarang kerajaan masih belum membatalkan keputusan kabinet untuk memberi hadiah tersebut. Najib kononnya menolak, tetapi ia tetap akan diterima akhirnya.
Sesuatu yang sudah hilang di Malaysia ialah perasaan malu. Najib tidak malu dan ramai penyokongnya tidak malu apabila disogok, apabila didapati bersalah.
Nilai hidup yang hodoh ini jelas ternampak apabila penyokong Najib berkata: “Apa perlu malu, (Najib) boss kita.”
Dengan itu diciumlah tangan Najib, pencuri Melayu Islam.
DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Tulisan ini diambil dari blog Mahathir dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai