Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes askar dipecat kerana enggan divaksin ditetapkan 30 Mei

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 Mei untuk mendengar permohonan semakan kehakiman oleh seorang bekas tentera yang dipecat kerana enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Perkara itu disahkan oleh Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan hari ini berhubung permohonan semakan kehakiman oleh Wan Ramli Wan Seman, yang pernah berkhidmat dengan batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Rasah, Negeri Sembilan.

Shamsul mewakili lima responden iaitu Angkatan Tentera Malaysia dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Zamrose Mohd Zain, Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, dan kerajaan persekutuan.

Sharull adalah pegawai pemerintah di Kem Rasah manakala Azammunir didakwa pegawai yang menandatangani surat pemecatan itu. 

Kedua-dua mereka dianggap berada di bawah pengawasan, kawalan, arahan dan undang-undang serta pentadbiran tiga responden yang lain.

Wan Ramly memfailkan semakan kehakiman itu pada 27 Sept tahun lepas.

Wan Ramli, 39, memohon pengisytiharan bahawa surat pelepasan bertarikh 4 Ogos tahun ini, serta pelepasan awalnya dari perkhidmatan, adalah terbatal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa.

Dia juga memohon untuk mendapatkan arahan tentang sifat writ certiorari untuk membatalkan surat pelepasan, kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menurut kertas kausa, Wan Ramli mendakwa pada 3 Julai, dia menerima arahan daripada kerani syarikat (tentera) di klinik Kem Rasah untuk mengambil vaksin Covid-19. 

Bagaimanapun, dia menggunakan hak perlembagaannya untuk tidak diberi vaksin.

Wan Ramly ketika itu mendakwa dia disoal siasat pada 5, 6 dan 9 Julai, di mana dia didakwa "ditekan dan dimarahi oleh beberapa pegawai kerana enggan diberi vaksin".

Wan Ramli mendakwa pada 10 Julai lalu, dia dibicarakan oleh Sharull dan didakwa mengikut empat peruntukan Akta Angkatan Tentera 1972 iaitu kerana mengingkari arahan untuk disuntik; menggunakan bahasa ugutan atau tidak subordinat kepada pegawai atasan; ingkar kepada perintah tetap; dan tingkah laku yang menjejaskan ketenteraman dan disiplin yang baik.

Dia mendakwa Sharull menafikan permintaannya untuk dibicarakan di mahkamah tentera, dan didakwa merampas mata pencariannya yang dilindungi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Wan Ramli berpendapat bahawa dia hanya mengatakan "Saya masih tidak setuju untuk diberi vaksin", yang menurutnya tidak mengancam atau merupakan bahasa yang tidak wajar.

Dia juga berkata bahawa dia memiliki hak untuk menolak vaksinasi.

Bekas sarjan itu mendakwa bahawa pada 3 Ogos, dia diberitahu bahawa pemberhentiannya berkuat kuasa mulai 26 Ogos tahun ini, yang jauh lebih awal daripada pemberhentian sepatutnya, pada 20 Januari 2023.

Dia berhujah bahawa pelepasan itu tidak sah kerana, antara sebab lain, tindakan responden adalah tidak seimbang dalam semua keadaan kes, bersifat diskriminasi yang menyalahi undang-undang, menindas, tidak rasional dan/atau tidak munasabah, dan mengambil kira pertimbangan yang tidak relevan.

Wan Ramli juga mendakwa bahawa dia kehilangan hak pencen, dan seterusnya kehilangan mata pencariannya sama dengan kehilangan hak perlembagaan untuk memiliki harta.

Pada 28 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada pemohon untuk meneruskan semakan kehakiman, berikutan tiada bantahan yang dibangkitkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

[Baca berita asal]