Skip to main
Logo Malaysiakini

MAS: Penumpang tular pakai gelang merah jambu dibenar buat perjalanan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang penumpang penerbangan yang memakai gelang tangan Covid-19 merah jambu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuantan pada 2 Januari dibenarkan membuat perjalanan di bawah garis panduan Kementerian Kesihatan, menurut Malaysia Airlines (MAS).

Ini berlaku selepas tular dalam media sosial seorang penumpang menuntut penjelasan mengenai insiden itu, yang berlaku dalam penerbangan MH1276.

MAS berkata penerbangan yang disebut dalam catatan media sosial itu hanyalah penerbangan sambungan pada hari yang sama perjalanan penumpang itu dari Phnom Penh ke Kuantan.

“Mengikut Garis Panduan KKM Lampiran 9 (Garis Panduan Untuk Saringan Tempat Kemasukan Pelancong), penumpang itu dibenarkan oleh KKM untuk meneruskan perjalanannya ke Kuantan selepas dinilai oleh Pejabat Kesihatan Kemasukan dan Kuarantin Pelabuhan ” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

MAS menyatakan komitmen mereka menyediakan perjalanan yang selamat untuk penumpang dan anak kapal berpandukan prosedur kesihatan penerbangan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Seksyen C 2.3 Lampiran 9 dalam Garis Panduan KKM menyatakan bahawa pelancong yang transit dari luar negara di mana-mana pintu masuk di Malaysia dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi domestik mereka kecuali mereka yang bergejala, kes positif dan kontak rapat kes Covid-19.

Ketetapan ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia.

Pada 5 Januari, seorang wanita yang menaiki penerbangan yang sama dengan penumpang itu memuat naik hantaran di Facebook untuk menyatakan kekecewaannya terhadap MAS kerana kekurangan penjelasan mereka mengenai kehadiran penumpang berkenaan dalam penerbangan itu.

 

Dia mendakwa pramugari "sama-sama terkejut" bahawa penumpang itu berada dalam penerbangan berkenaan, dan semua penumpang yang tinggal di atas kapal telah dimaklumkan tentang kejadian itu.

Dia menambah bahawa ketika hantaran itu dimuat naik, tiga hari selepas kejadian itu berlaku, MAS masih tidak menjelaskan isu itu dengan berkesan.

Gelang tangan berwarna merah jambu dikeluarkan oleh KKM kepada individu yang sedang menjalani pengawasan di rumah — biasanya pengembara di bawah kuarantin, individu yang positif Covid-19 atau kontak rapat.