Skip to main
Logo Malaysiakini

Azam ikrar beri kerjasama penuh kepada SC

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berjanji untuk memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam isu pemilikan saham syarikat awam.

"Saya akan berikan kerjasama penuh kepada SC. Tak ada isu berkenaan ini. Saya akan berikan semua dokumen dan maklumat yang diperlukan," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu - yang dipetik The Star - menambah dia sedar pendedahan yang dibuat mengenai akaun yang digunakan adiknya, Nasir, menimbulkan pelbagai persoalan.

Justeru katanya apa yang terbaik dilakukan ialah membiarkan SC meneliti hal tersebut sebelum dia membuat kenyataan lebih lanjut.

Azam dijangka bertemu dengan SC pada minggu depan.

Semalam SC akan menghubungi Azam selepas dia mengakui Nasir telah menggunakan nama akaun dagangannya untuk membeli saham.

"SC akan berhubung dengan pihak terbabit, termasuk Tan Sri Azam Baki, untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti berkaitan," kata SC.

Menurut SC di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti Depositori Pusat 1991 (Sicda), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial saham yang didepositkan atau atas nama syarikat yang diberi kuasa oleh penama.

Selain itu, kata SC, seksyen 29A Sicda menetapkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilaksanakan hanya oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa.

Azam kini didakwa memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat senarai awam pada 2015 dan 2016.

Pada 5 Jan lalu Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Abu Zahar Ujang, mendakwa Azam tidak melakukan sebarang kesalahan dan mereka berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

Kata Abu Zahar, Azam memaklumkan akaun trading miliknya digunakan Nasir untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

Saham itu katanya telah dipindahkan kepada Nasir.