Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayuan Rosmah mohon batal kes rasuah projek solar pada 24 Mac

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rayuan terakhir Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan rasuahnya membabitkan projek tenaga hibrid solar Sarawak bernilai RM1.25 bilion akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 24 Mac.

Mahkamah tertinggi negara menetapkan tarikh perbicaraan susulan sebutan rayuan hari ini oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam pagi ini mengesahkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan.

“Perbicaraan rayuan adalah pada 24 Mac 2022. (Mahkamah Persekutuan mengarahkan supaya) Hujahan (bertulis) perlu difailkan selewat-lewatnya pada 9 Mac 2022,” kata pendakwaraya ketika dihubungi media.

Semasa pengurusan kes dalam talian pagi ini, peguam bela Jagjit Singh mewakili perayu Rosmah, manakala DPP Poh Yih Tinn mewakili pihak pendakwaan.

Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Sept tahun lepas, yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan jenayah membabitkan projek untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Pada 12 Disember tahun lalu, Rosmah gagal sekali lagi untuk membatalkan kes rasuah melibatkan projek tenaga solar hibrid untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak itu.

Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap isteri Najib itu.

Keputusan itu disampaikan oleh panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah. Dua lagi hakim ialah M Gunalan dan Hashim Hamzah.

Hanipah berkata hakim bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa memberikan relief perisytiharan yang dipohon Rosmah.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

[Baca berita penuh]