Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib mungkin mohon Mahkamah Persekutuan dengar rayuan bukti baru dulu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib Abdul Razak sedang mempertimbangkan kemungkinan memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendengar dahulu rayuannya mengemukakan bukti baharu dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd (SRC) bernilai RM42 juta.

Pasukan peguam Najib berhujah hal itu kerana keputusan rayuan untuk bukti baru itu mungkin mempunyai kaitan kritikal dengan rayuan utama bekas perdana menteri berkenaan untuk membatalkan sabitan ke atasnya di Mahkamah Persekutuan.

Satu daripada rayuan itu ialah untuk membatalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes rasuah utama SRC.

Satu lagi rayuan merupakan usahanya untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan utama.

Pada 7 Dis tahun lalu Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuannya terhadap kes rasuah RM42 juta SRC.

Sehari kemudian pula Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan bersalah dan hukuman yang dikenakan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Didengar bersama atau berasingan

Bercakap kepada Malaysiakini, peguambela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, berkata mereka sedang mempertimbangkan perkara itu memandangkan potensi kesan besar hasil rayuan bukti tambahan yang mungkin ada pada rayuan utama SRC.

“Sekiranya rayuan bukti baru dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan, itu akan memberi kesan kepada rayuan utama (SRC).

"Ini berikutan kaitan rayuan bukti baru mengenai rayuan utama," kata Farhan ketika dihubungi.

Tambah peguam itu, susulan pengurusan kes rayuan utama pagi ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Jan untuk sebutan lanjut perkara itu.

Ketika dihubungi berhubung pengurusan kes hari ini, timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Andrin Kamarul berkata mahkamah tertinggi itu dimaklumkan oleh peguam Najib bahawa mereka sedang mempertimbangkan sama ada untuk memohon kedua-dua rayuan didengar secara bersama atau berasingan.

Katanya, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kepada mahkamah bahawa rekod rayuan untuk rayuan utama telah lengkap, manakala rekod rayuan untuk rayuan bukti baru masih belum siap.

Ashrof berkata pasukan peguam bela Najib mungkin mendapatkan lebih banyak masa daripada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mereka mempertimbangkan sama ada untuk mendapatkan pendengaran berasingan atau bersama bagi kedua-dua rayuan.

Dia juga mengesahkan Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Jan untuk pengurusan kes lanjut mengenai perkara itu.

Sebelum ini anak syarikat 1MDB, SRC kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Selain bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC, dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

[Baca berita asal]