Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia perlukan dasar radikal, menggegar tangani isu alam sekitar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Negara ini memerlukan tindakan agresif dan radikal bagi membolehkan ia berdepan dengan bencana yang berpunca daripada perubahan cuaca, kata Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata pelbagai masalah seperti kemarau berpanjangan, krisis air, musim hujan tidak menentu dan banjir luar biasa adalah fenomena baru yang kian lazim.

Katanya matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050 juga adalah tidak realistik jika isu alam sekitar yang semakin kerap dihadapi kini tidak ditangani dengan segera.

Misalnya, kata Mohamad, tiada perubahan radikal dalam cara mengurus hutan, merancang pembangunan, mengurus sungai dan menukar gaya hidup rakyat.

"Sudah sampai masanya Malaysia mengkaji semula dasar penebangan dan pengurusan hutan, menghentikan penggunaan plastik sekali guna, mewajibkan semua pembangunan baru beralih kepada teknologi cekap tenaga sepenuhnya, juga menyasarkan penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2035," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini mencetuskan polemik mengenai pelbagai isu termasuk kegagalan perancangan kerajaan menguruskan pembangunan, selain pembalakan.

Selain Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka adalah antara negeri yang terjejas teruk, khususnya apabila banjir itu turut membawa pelbagai kotoran termasuk batang-batang balak.

Pada 7 April lalu Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Malaysia bukan termasuk dalam kumpulan negara yang terdedah kepada kesan perubahan iklim dunia.

Timbalan Presiden PAS itu berkata demikian sebagai menjawab persoalan mengapa Putrajaya tidak dijemput menghadiri sidang kemuncak berkenaan perubahan iklim di AS pada 22 dan 23 April.

Mohamad berkata, dasar kelestarian negara memerlukan sesuatu yang benar-benar ‘menggoncang dan menggegarkan’ selain luar biasa serta berdampak berganda, bukannya yang incremental (meningkat) dan reaktif.

"Memberitahu dunia bahawa Malaysia tidak terkesan dengan perubahan cuaca adalah kenyataan penafian yang sangat dikesali, tidak benar dan tidak jujur," katanya lagi.