Najib: Saya terima akibat kerana bercakap benar pada PRU14
Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata dia menerima akibatnya setelah memilih untuk bercakap benar kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Selaku perdana menteri ketika itu, katanya, dia tidak dapat membuat beberapa janji termasuk pemasuhan tol dan penurunan harga minyak seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH).
"Pada PRU14, saya ada pilihan. Nak janji syurga dunia yang saya tak tahu dan tak mungkin dapat tunaikan, ataupun saya bercakap benar dan jujur kepada rakyat.
"Saya pilih untuk bercakap benar. Sebab saya tahu sebagai perdana menteri dan menteri kewangan pada ketika itu mustahil nak hapuskan tol seratus peratus, mustahil harga minyak boleh diturunkan RM1.50, mustahil pinjaman PTPTN dihapuskan, BR1M nak berikan RM2,000, kalau GST dihapuskan ganti dengan SST.
"Rakyat perlu mendapatkan apa yang mereka dijanjikan. Maknanya, sebagai perdana menteri saya perlu bercakap benar atau menipu, saya tak sanggup menipu rakyat.
"Akibatnya tak apalah," katanya dalam program santai bersama majlis tertinggi Parti Makkal Sakthi Malaysia (MMSP) di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu ahli parlimen Pekan itu menjelaskan mengapa dia, selaku pengerusi BN ketika itu tidak mengemukakan manifesto bersifat populis seperti PH.
Pada PRU14, BN ditumbangkan oleh PH buat pertama dalam sejarah selepas mentadbir negara ini lebih 60 tahun.
Najib sebelum ini menghadapi beberapa pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa di mahkamah.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati dia bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta dana SRC International, serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Penghakiman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara, selepas panel tiga hakim mendengar rayuan Najib.
Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan Najib menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan.
Selain itu Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Najib berkata, sejarah akan membuktikan bahawa dia bercakap benar kepada rakyat.
"Sejarah akan memberitahu bahawa saya bercakap benar dan saya membuat perkara yang betul. Saya boleh tidur lena pada waktu malam. Saya tidak mempunyai masalah untuk
bercakap salah kerana saya bercakap benar. Saya tidak berbohong kepada rakyat Malaysia.
"Yang lawan kita itu, mereka pilih untuk berbohong (manifesto PH) dan inilah mesti kita ingatkan, adakah kamu nak mereka kembali memerintah negara ini?
"Ini adalah soalan moral dan soalan etika yang besar, jika mereka boleh berbohong kepada rakyat Malaysia. Mereka sanggup melakukan banyak perkara lain," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai