Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP tawar bantuan pada pemberi maklumat berdepan tuntutan KP SPRM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Kepong DAP Lim Lip Eng, yang juga seorang peguam berkata pihaknya bersedia menawarkan perkhidmatan guaman secara percuma kepada pemberi maklumat yang berdepan ancaman undang-undang daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Susulan dakwaan pemilikan berjuta-juta saham dalam dua syarikat senaraian awam, Azam menuntut permohonan maaf dan RM10 juta daripada pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam kerana mendedahkan mengenai pemilikan saham itu.

"Pasukan guaman DAP Kuala Lumpur menawarkan perkhidmatannya kepada Lalitha secara pro bono untuk mempertahankan kesnya di mahkamah undang-undang.

“Azam tidak wajar mengeluarkan surat tuntutan itu.

"Dia sepatutnya meminta siasatan penuh terhadap dakwaan pertuduhan konflik kepentingan terhadapnya," kata Lim dalam satu kenyataan.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 itu telah menimbulkan persoalan sama ada ia setimpal dengan pendapatannya sebagai penjawat awam atau tidak.

Azam mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli atas namanya oleh adik lelakinya. Kemudian, saham itu telah dipindahkan kepada adiknya.

Bagaimanapun, penjelasan itu menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan.

Semalam, Azam berkata dia akan memberikan kerjasama penuh kepada SC dalam isu pemilikan saham syarikat awam.