Skip to main
Logo Malaysiakini

'Anak pelarian tak kenang budi' - Teguran Beliawanis MCA guris hati aktivis

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Beliawanis (Biro Wanita Muda) MCA) Ivone Low Yi Wen dikecam kerana melabelkan kanak-kanak pelarian sebagai "provokatif, sombong dan tidak mengenang budi."

Low membuat kenyataan ini sebagai tindak balas terhadap video yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak, dipercayai pelarian, mengetuk pintu kereta untuk mengemis wang.

Kanak-kanak itu, kata Low telah berkelakuan sedemikian walaupun menerima layanan baik daripada rakyat Malaysia.

Aktivis hak asasi manusia Elise Arya Chen berkata saranan Low untuk menjejaki pelarian dan melaksanakan mekanisme orang ramai "mengadu" mengenai pelarian hanya menjenayahkan komuniti terpinggir yang mencari perlindungan selamat daripada peperangan, konflik dan penganiayaan.

"Gesaannya supaya kerajaan bertindak lebih tegas menyemarakkan naratif bahawa pelarian pada umumnya adalah pengacau yang agresif dan provokatif," kata Chen (gambar, bawah) bertegas kenyataan itu menimbulkan kemarahan.

"Terdapat individu yang tidak baik dalam setiap komuniti. Kita tidak seharusnya menjadi terlalu rendah untuk menyamakan pelarian sebagai tidak bersyukur dan sombong berdasarkan tindakan segelintir kanak-kanak kecil yang terpaksa mengemis di jalanan, bukannya mendapat akses kepada pendidikan formal.

“Saya hanya berharap agar Low dan rakyat Malaysia lain yang lebih cenderung mempercayai naratif ini, berpeluang bertemu dan berkawan dengan beberapa pelarian, untuk menyedari bahawa individu yang tidak baik ini tidak mewakili komuniti pelarian yang pelbagai dan berdaya tahan di sini.

"Jika tindak balas polisi terhadap video beberapa kanak-kanak pengemis yang agresif adalah untuk memburukkan lagi seluruh komuniti pelarian, dan bukannya menangani sebab kanak-kanak tidak berada di sekolah, saya bimbang kompas moral kita telah gagal, sekali gus mencemarkan kemanusiaan kita," kata Chen kepada Malaysiakini .

Walaupun perlu difahami bahawa sekarang adalah zaman yang sukar, Chen berkata jalan ke hadapan bukanlah perpecahan, kambing hitam dan peminggiran.

"Melayan pelarian sebagai masalah adalah masalahnya. Daripada mendesak polisi yang didorongi oleh emosi yang xenofobia dan memalukan, kita mesti memberi tumpuan kepada penyelesaian yang lebih holistik berdasarkan analisis menyeluruh dan saksama terhadap keseluruhan situasi," tambahnya.

Low (gambar, atas) dalam maklum balasnya juga berkata bahawa "tingkah laku agresif" kanak-kanak pelarian itu membimbangkan dan menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan sebelum rakyat Malaysia 'mengambil tindakan mereka sendiri'.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata perspektif sosial Malaysia terhadap pelarian boleh menjadi masalah, kerana bukan sedikit yang bersikap sedemikian.

"Mereka sering beranggapan pelarian adalah kes kebajikan, atau UNHCR dan NGO menyokong pelarian dari segi kewangan, mengapa mereka perlu mengambil berat tentang pelarian sedangkan rakyat Malaysia mempunyai isu mereka sendiri di negara ini."

'Kanak-kanak tak dapat pilih lahir di mana'

Walau bagaimanapun, dia mengingatkan ketua Beliawanis MCA itu perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengenai hak seorang kanak-kanak.

"Mereka berhak mendapat maruah yang sama seperti yang dimiliki oleh anak-anak Malaysia. 

"Jika masyarakat percaya kepada mereka, benarkan mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya, ia akan kembali memberi manfaat kepada kita semua sebagai sebuah negara.

"Kita harus menunjukkan contoh yang baik di peringkat antarabangsa dengan memberikan hak pendidikan kepada kanak-kanak itu. Kerajaan Malaysia juga harus menyediakan program kesedaran untuk masyarakat tentang bagaimana pelarian boleh menyumbang kepada masyarakat dan negara tuan rumah.

"Sebilangan besar masyarakat tempatan nampaknya tidak menyedari faktor yang menyebabkan perpindahan dan populasi pelarian yang ketara.

"Tanpa memahami realiti dan konteks, ketakutan dan kebencian terhadap komuniti ini ditiup dan diapi-apikan," katanya.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh juga membidas MCA, berkata kenyataan itu mengerikan untuk ditujukan kepada kanak-kanak.

"Tiada kanak-kanak boleh mengawal status undang-undang mereka atau menentukan bangsa mereka sendiri dan tidak ada kanak-kanak yang berhak mendapat kezaliman.

"Setiap kanak-kanak diciptakan Tuhan dengan hebat. Tidak sah taraf, tidak bernegara dan pelarian adalah syarat yang dibuat oleh manusia," katanya pada hantaran di media sosial.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam maklum balas kepada video itu telah berkata berdasarkan pandangan daripada komuniti pelarian sendiri, hanya peratusan kecil golongan tersebut yang terpaksa mengemis untuk memenuhi keperluan hidup.

“Ini adalah penunjuk terdesak sesebuah keluarga membenarkan anak mereka keluar mengemis.

"Jika ibu bapa pelarian dapat bekerja secara sah dan mampu menyara keluarga mereka, dan jika anak-anak pelarian dapat menghadiri sekolah formal, peluang anak-anak berada dalam keadaan eksploitatif berkurangan. 

"Kanak-kanak sepatutnya berada di sekolah, bukan di jalanan untuk mengemis," kata UNHCR.

Pada hari Rabu, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said bercakap mengenai video yang sama tetapi mempunyai pandangan yang sama sekali berbeza daripada Low.

Azalina mendakwa kanak-kanak itu tidak harus dipersalahkan atas perbuatan mereka kerana negara gagal menghalang mereka daripada dijadikan pengemis.

Dia juga menegaskan Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya bagi sesiapa yang menggunakan kanak-kanak untuk mengemis atau aktiviti haram.

Hukuman yang sama diperuntukkan bawah Seksyen 33 Akta kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah, katanya lagi.

Sementara itu, aktivis hak kanak-kanak Hartini Zainuddin berkata mengejutkan apabila pemimpin yang mewakili anggota masyarakat menimbulkan kemarahan dan meningkatkan kebencian terhadap kumpulan rentan yang sudah terpinggir.

"Apa yang mengejutkan ialah mereka kanak-kanak. Dengan segala hormatnya, tonggak masyarakat ini begitu alpa akan hak kanak-kanak dan perlindungan kanak-kanak dan tidak mempunyai perasaan, tidak menunjukkan sensitiviti dan pemahaman tentang kesusahan sekumpulan kanak-kanak, yang selalu ditohmah di Malaysia," katanya.

Hartini menegaskan Malaysia memeterai Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak.

[Baca berita asal]