Skip to main
Logo Malaysiakini

Adakah PAS cuba sekat Jk khas parlimen siasat Azam baki, soal Lim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adakah PAS cuba menyekat siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, soal veteran DAP.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata ketika Azam ditekan susulan dakwaan pemilikan saham, PAS sebaliknya tampil membela ketua SPRM itu, berkata parti itu menyambut baik penjelasan Azam.

Secara kebetulan, jelas Lim ketua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Agensi di bawah JPM ialah Ahli Parlimen PAS Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman.

“Adakah akibat arahan partinya PAS dan perdana menteri yang menjadi punca Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak bermesyuarat atau memanggil Azam Baki untuk menghadap jawatankuasa pilihan khas bagi menjelaskan sendiri mengenai dakwaan konflik kepentingan itu?

"Berapa lama lagi Perdana Menteri Ismail Sabri akan berdiam diri mengenai isu Azam ini," soal Lim pada satu kenyataan hari ini.

Azam mengalami tekanan berhubung pemilikan berjuta-juta saham dalam dua syarikat senaraian awam sebelum ini.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 itu telah menimbulkan persoalan sekiranya ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam dan kebimbangan konflik kepentingan.

Azam mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli atas namanya oleh adik lelakinya. Saham itu telah dipindahkan kepada adiknya itu.

Bagaimanapun, penjelasan itu menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan.

Azam berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada SC.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu juga telah memulakan tindakan undang-undang atas fitnah terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan pegangan sahamnya.

Ahli parlimen pembangkang telah mendesak jawatankuasa pilihan khas untuk menyiasat Azam berhubung pemilikan saham tetapi panel itu masih belum bermesyuarat membangkitkan persoalan jika ia memerlukan lampu hijau daripada eksekutif.

Ini, kata Lim, menjejaskan doktrin pengasingan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata selepas penjelasan Azam maka "beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas ketua pesuruhjaya SPRM berkenaan berasas, sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu."

Takiyuddin, yang juga menteri tenaga dan sumber asli, mendakwa tuduhan terhadap Azam bertujuan untuk menggugat kestabilan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pun begitu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula menggesa kerajaan menubuhkan siasatan bebas untuk menyiasat perkara ini dan Azam perlu bercuti sementara.

Fadhli turut menyarankan semua pihak yang terlibat, termasuk pegawai tertinggi SPRM direhatkan sehingga siasatan selesai bagi “memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang”.

“Pemuda PAS percaya perkara ini harus diambil serius oleh kerajaan bagi menangkis persepsi buruk kepada kerajaan dan negara, serta memastikan integriti terus terpelihara,” katanya lagi.