Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR persoal asas Saifuddin lantik 2 penasihat khas baru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ahli politik pembangkang mempersoalkan keperluan Menteri Luar Saifuddin Abdullah melantik penasihat tambahan ketika Putrajaya sudahpun mempunyai beberapa duta khas.

Selain itu kata Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, kerajaan juga sudah memiliki pegawai awam yang terlatih untuk menjalankan tugas bagi pihak negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Lee berkata kerajaan membayar imbuhan kepada Ahli Parlimen Serian, Richard Riot Jaem untuk menjadi duta khas ke Asia Timur, iaitu Richard Riot; Tiong King Sing (Bintulu) ke China; dan Abdul Hadi Awang (Marang) ke Timur Tengah.

China juga dianggap sebahagian daripada rantau Timur Asia Timur. Semua duta khas terbabit bertaraf menteri.

Untuk rekod, seorang lagi lantikan Putrajaya ialah Presiden MIC, SA Vigneswaran, yang menjadi duta khas ke India dan Asia Selatan.

Kata Lee semua duta khas terbabit memerlukan kerajaan mengeluarkan biaya yang sangat tinggi dari semasa ke semasa.

“Gaji bulanan pegawai dan setiausaha kepada duta-duta khas itu sahaja sudah menelan kos lebih RM145,653 sebulan atau RM1.7 juta setahun.

“Ini belum pun lagi termasuk gaji duta-duta khas itu sendiri," katanya.

Bawa 'orang luar' masuk kementerian

Semalam Malaysiakini melaporkan, Saifuddin mengumumkan secara rasmi pelantikan dua lagi penasihat khas bagi menguruskan hal ehwal Asia Timur dan hal ehwal kebajikan antarabangsa.

Dia yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota serta Pengerusi Perikatan Nasional Pahang berkata, dua pegawai terbabit ialah Pengerusi Gerakan Pahang, Ranndy Yap Kim Heng ; dan Pengurus Besar Yayasan Felda, Mohd Banuri Aris.

Pelantikan kedua-dua mereka itu berkuat kuasa masing-masing pada Okt dan Nov lalu.

Saifuddin berkata pelantikan berkenaan tidak membabitkan kos tambahan kepada kementerian. 

Kata Lee dengan adanya duta khas sekarang, Saifuddin sepatutnya boleh berhubung secara langsung dengan mereka dan bukannya melantik lagi penasihat khas.

Adun Semambu itu menambah sebagai duta khas bertaraf menteri seseorang itu dibayar gaji RM27,227 sebulan, selain disediakan pejabat sendiri, kenderaan, pemandu dan telefon bimbit.

Meskipun penasihat-penasihat khas baru itu tidak dibayar, kata Lee, Saifuddin dianggap melangkau kepakaran yang ada dalam Wisma Putra kerana membawa 'orang luar' yang menurutnya bukan golongan profesional.

“Kementerian sudah pun mempunyai program latihan menyeluruh untuk diplomat dan kita mempunyai ramai diplomat profesional yang dapat memberikan nasihat profesional.

“Tetapi Saifuddin sedang memberi ganjaran atau menjaga orang-orang dia, yang boleh dilihat sebagai menghina golongan profesional dalam Kementerian Luar,” katanya.

Lee juga memberikan amaran bahawa pelantikan berkenaan boleh dilihat sebagai satu 'jenaka' di pentas antarabangsa.

“Menggunakan kedudukan diplomatik sebagai alat tawar-menawar dalam politik, bukanlah sesuatu yang patut dilakukan oleh Kementerian Luar Negeri.

“Nasihat yang diberikan oleh seorang bukan profesional boleh menjadi jenaka antarabangsa,” tegas Lee.