Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak sensitif buat taklimat Pelan Tindakan Masyarakat India pada hari Ponggal - Kula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ahli parlimen pembangkang mengecam Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique kerana didakwa mengadakan sesi libat urus mengenai Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) pada hari yang sama dengan sambutan perayaan Ponggal.

Menyifatkan tindakan itu sebagai "tidak sensitif", Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat M Kulasegaran mendakwa bahawa taklimat menteri mengenai PTMI akan datang telah dijadualkan pada Jumaat depan (14 Jan).

Dia juga menggesa untuk menukar tarikh baru untuk mengadakan taklimat itu dan turut memasukkan perbincangan mengenai kontroversi Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) dalam agendanya.

“Walaupun menjadi menteri perpaduan negara, dia tidak tahu bahawa 14 Jan bertepatan dengan Ponggal, yang merupakan pesta menuai.

“Sekadar memperkenalkan Halimah kepada Ponggal, ia adalah masa dalam setahun di mana sebuah keluarga India akan merebus beras, susu dan gula perang dalam periuk tanah liat yang dihias sehingga tumpah, yang menandakan kelimpahan dan kemakmuran. Ia adalah perayaan yang meriah.

“Adalah tidak boleh diterima seorang menteri perpaduan negara tidak peka dengan budaya dan perayaan yang berbeza di negara ini jadi saya minta menteri mempertimbangkan semula tarikh mesyuarat dan memasukkan agenda kehilangan dana daripada Mitra ke dalam mesyuarat yang akan diadakan pada tarikh yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bersama kenyataannya, Kulasegaran menyertakan surat daripada Halimah kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang menjelaskan mengenai taklimat pada 14 Jan ini.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Halimah untuk mendapatkan ulasan.

PTMI ialah pelan tindakan yang membentangkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang kerajaan untuk membangunkan masyarakat India Malaysia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata bulan lalu bahawa ia akan dilancarkan "tidak lama lagi" tetapi tidak menyatakan tarikhnya.

Dia turut mengumumkan kabinet akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan sasaran PTMI tercapai.

Sementara itu, isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Mitra.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Pada 22 Nov 2021, SPRM berkata mereka hampir selesai melengkapkan kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Mitra.