Puteri Saudi, anak perempuannya bebas lepas tiga tahun dipenjara
GLOBAL | Pihak berkuasa Arab Saudi membebaskan seorang puteri dan anak perempuannya yang telah ditahan tanpa pertuduhan selama hampir tiga tahun, kata penasihat undang-undangnya pada Sabtu.
Puteri Basmah Bint Saud bin Abdulaziz Al Saud, 57, seorang ahli perniagaan, aktivis hak asasi manusia dan kerabat diraja, hilang pada Mac 2019 bersama anak perempuannya yang sudah dewasa, Souhoud Al Sharif.
"Kedua-dua wanita itu dibebaskan daripada pemenjaraan tanpa bicara dan tiba di rumah mereka di Jeddah pada Khamis 6 Januari 2022," kata peguamnya Henri Estramant.
"Puteri dalam keadaan baik tetapi akan mendapatkan pemeriksaan pakar perubatan," tambah Estramant. "Dia kelihatan lesu tetapi semangatnya baik dan bersyukur dapat bertemu semula dengan anak-anaknya."
Pejabat media kerajaan Saudi tidak segera membalas permintaan untuk mendapatkan komen. Kerajaan tidak pernah mengulas secara terbuka mengenai kes ini.
Pada 2020, Puteri Basmah berkata melalui saluran media sosialnya dia telah ditahan di ibu negara Riyadh selama lebih setahun dan sedang sakit.
Puteri Basmah anak bongsu kepada Almarhum Raja Saud itu telah mengkritik layanan kerajaan terhadap wanita.
Dia sepatutnya pergi ke luar negara untuk rawatan perubatan sekitar masa penahanannya pada akhir Februari 2019, dan dimaklumkan selepas penahanannya bahawa dia dituduh cuba memalsukan pasport, kata seorang saudara terdekat pada masa itu.
Tuduhan itu kemudiannya digugurkan, tetapi dia tetap dipenjarakan bersama anak perempuannya yang bersamanya pada masa itu, kata saudaranya.
Puteri Basmah melalui catatan media sosial berkata mengenai penahanannya bahawa dia telah ditahan di penjara Al-Ha'ir.
Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas keadaan kehilangan dan penahanannya.
Reuters juga tidak dapat memastikan jika pemenjaraannya dikaitkan dengan penahanan terhadap kerabat diraja dan tokoh terkenal Saudi pada masa lalu.
Pun begitu, sumber-sumber mengaitkan langkah berkenaan sebagai pemusatan kuasa Putera Mahkota Mohammed bin Salman atau membabitkan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat, termasuklah aktivis hak wanita.
Melalui petisyen yang dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bertarikh 5 Mac 2020 dan dilihat oleh Reuters, keluarga puteri itu mencadangkan sebab penahanannya mungkin kerana peranannya "sebagai pengkritik lantang penderaan di negara kelahiran kami, tetapi juga kerana ... bertanya mengenai harta pusaka ayahandanya yang dibekukan."
(Laporan oleh Raya Jalabi; Suntingan oleh David Holmes dan Frances Kerry)
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai