Skip to main
Logo Malaysiakini

Otai Reformis gesa Selcat siasat sistem pengurusan banjir S'gor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO dikaitkan PKR, Otai Reformis 1998 menggesa Jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan Selangor (Selcat) untuk menyiasat prosedur pengurusan banjir di negeri itu bagi mengelakkan berulangnya bencana pada hujung tahun lalu.

Setiausaha kumpulan itu, Razak Ismail berkata jawatankuasa dwiparti DUN itu perlu menyiasat "peranan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang kurang memuaskan dalam pengarahan proses evakuasi dan bantuan banjir."

Kata Razak lagi, hasil siasatan Selcat perlu didedahkan kepada umum memandangkan pengurusan banir merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.

"Otai Reformis 1998 mempertikaikan peranan, Datuk Haris Kasim, Datuk SUK Negeri Selangor semasa atau sebelum berlakunya banjir besar di beberapa lokaliti di sekitar Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Sg Buloh dan Kuala Selangor.

"Datuk SUK yang bertanggungjawab ke atas Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor yang mengendalikan Bilik Gerakan Bencana di bangunan SUK didakwa telah lewat 'mengaktifkan' bagi mengerakkan aset-aset agensi Kerajaan Negeri.

"Termasuk aset pihak berkuasa tempatan (PBT), anak syarikat kerajaan negeri dan lain-lain pihak berkaitan untuk kerja-kerja memindahkan mangsa-mangsa banjir terlibat," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Razak (gambar, atas) lagi, rakyat agak terkilan dengan kelewatan pihak berkuasa tempatan, khususnya unit Pantas yang diwujudkan di 12 PBT serta memiliki bot fibre dan aluminium yang tidak segera di bawa ke lokasi banjir sekitar Shah Alam.

"Kita juga dimaklumkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, Air Selangor, LUAS dan beberapa Pejabat Tanah dan Daerah mempunyai beberapa buah bot tetapi tidak dikerahkan untuk kerja-kerja pemindahan segera mangsa-mangsa banjir tersebut, semasa peringkat awal berlakunya banjir," katanya.

Di Seri Muda, Shah Alam, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas di Selangor, beberapa penduduk ditemui Malaysiakini ketika kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan mempersoalkan apa yang mereka dakwa sebagai "misi menyelamat bot terpilih."

Selangor mencatat rekod hujan yang tinggi pada 17 Dis lepas dengan menyaksikan paras air meningkat dengan cepat di beberapa bahagian di Selangor dan beberapa negeri lain, menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal selain memusnahkan harta benda.

Ramai mangsa banjir berdepan dengan kerosakan harta benda yang ditenggelami air ekoran hujan yang direkodkan, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di seluruh semenanjung.