Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan Kelantan digesa henti eksploitasi alam sekitar atas alasan sumber pendapatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri Kelantan digesa menghentikan semua aktiviti yang mempunyai risiko menjejaskan kawasan sensitif alam sekitar (ESR), terutama di kawasan hutan simpan kekal negeri.

Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak juga berkata justifikasi kepimpinan Kelantan bahawa aktiviti pembalakan di negeri itu mengikut peraturan yang ditetapkan adalah membingungkan.

“Ini sangat diragui. Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) telah dibatalkan pada 11 Mac 2016 dan salah satu faktor utama pembatalan itu adalah pembalakan berlebihan melebihi kuota nisbah tebangan tahunan,” kata kumpulan alam sekitar itu.

Mereka berkata pensijilan itu ditarik balik kerana unit pengurusan hutan negeri Kelantan gagal mematuhi arahan tindakan pembetulan bagi penambahbaikan yang dibangkitkan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd.

"Ini adalah petunjuk jelas bahawa negeri ini tidak mempunyai dasar hutan mampan, dan tidak komited terhadap pengurusan hutan lestari," kata mereka.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata mereka tidak mempersoalkan kesahihan aktiviti pembalakan itu.

“Apa yang kita pertikaikan ialah eksploitasi alam sekitar yang dilakukan dengan berselindung di sebalik pembalakan sebagai sumber pendapatan kerajaan negeri,” katanya.

Mereka menegaskan bahawa hampir 28 peratus daripada hutan simpan kekal Kelantan telah dizonkan untuk ladang monokultur, yang merupakan petunjuk terhadap eksploitasi yang dipertikaikan.

Angka ini tidak termasuk aktiviti perlombongan dan kuari yang dijalankan di dalam hutan simpan kekal, tambah mereka.

Membersihkan hutan untuk ladang monokultur berskala besar, perlombongan dan penggalian memusnahkan dedaun asli, kata mereka, yang seterusnya akan memberi kesan kepada hidrologi hutan dan mendedahkan permukaan tanah kepada kadar hujan yang tinggi.

Tambah mereka, ini kemudiannya akan menjejaskan fungsi biodiversiti hutan dan mengakibatkan air larian permukaan yang berlebihan, hakisan lereng bukit, kerosakan pada struktur sungai dan kemerosotan kualiti air.

“Hutan asli adalah aset penting yang perlu dilindungi. Pokok dan tumbuhan menyerap hujan, manakala pereputan di lantai hutan melindungi tanah daripada kesan langsung hujan.

"Tambahan pula, apabila hutan dimusnahkan, proses penyejatan meningkat, meningkatkan paras wap air dan mengakibatkan suhu yang lebih tinggi," kata mereka.

Mereka menegaskan bahawa Kelantan mempunyai beberapa banjaran utama lain yang diiktiraf sebagai Central Forest Spine (CFS), yang dikategorikan sebagai ESA.

Tegas mereka, apabila ESA dimusnahkan dan aktiviti selain daripada penggunaan tanah hutan dijalankan, akan ada kesan yang besar kepada ekosistem alam sekitar.

Kegiatan manusia yang tidak terkawal itu juga boleh menyumbang kepada bencana banjir dan malapetaka lain yang lebih teruk, kata mereka lagi.

“Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak berharap kerajaan negeri Kelantan dan pihak berkuasa berkaitan akan mematuhi, dan menerima pakai pelan pembangunan yang benar-benar mampan...serta menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada,” kata mereka.