Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib dijangka beri keterangan dalam kes mahkamah Rosmah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib Razak dipercayai akan hadir di mahkamah untuk memberikan keterangan dalam kes rasuah isterinya Rosmah Mansor hari ini.

Rosmah kini dibicarakan berhubung kes kontrak kerajaan untuk membekalkan tenaga hibrid solar-diesel ke beratus-ratus sekolah di kawasan luar bandar di Sarawak.

Bekas perdana menteri itu akan dipanggil sebagai salah seorang saksi pembelaan Rosmah. Perbicaraan dijangka bermula jam 9 pagi kecuali berlaku sebarang penangguhan.

Rosmah diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan pada 18 Feb tahun lepas bahawa pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Rosmah.

Rosmah, 70, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima rasuah masing-masing RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek berkenaan.

Jika sabit kesalahan, Rosmah berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan yang diterima.

Najib, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2009 hingga 2018, juga menghadapi pelbagai pertuduhan rasuah.

Dia telah disabitkan dengan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa berhubung penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta tetapi kini bebas dalam ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

[Baca berita asal]