Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah urusan syarikat, jurutera ditahan SPRM Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah urusan sebuah syarikat dan seorang jurutera profesional bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM250,000 membabitkan projek pembinaan jambatan sementara di Segamat, enam tahun lepas.

Menurut sumber, lelaki berusia 41 dan 52 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada kira-kira jam 7 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Katanya pada 2016 hingga 2020, kedua-dua individu berkenaan bersubahat mengemukakan dan memperakukan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di daerah Segamat.

Sumber itu memberitahu projek berkenaan ialah pembinaan jambatan sementara bernilai lebih RM4 juta sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-kedua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini, bagi mendapatkan permohonan reman.

- Bernama