Skip to main
Logo Malaysiakini

PBB wujudkan sayap baru untuk golongan belia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan meminda perlembagaan parti itu bagi mewujudkan sayap baru buat golongan belia berumur antara 18 hingga 28 tahun.

Presiden PBB yang juga Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata penubuhan sayap itu dibuat bagi memberi peluang kepada golongan terbabit bersama-sama berkhidmat kepada kesejahteraan negeri.

“Buat masa ini PBB ada sayap wanita serta pemuda… sekarang ini kita akan wujudkan satu sayap buat golongan belia 18 hingga 28 tahun.

"Kami wujudkan sayap ini kerana kita mahu mereka sama-sama menguruskan masyarakat bersama kita. PBB adalah parti yang dinamik.

"Kami juga mendengar aspirasi golongan muda dan kita akan sesuaikan kepada keadaan politik semasa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di Kuching malam tadi.

Abang Johari berkata pindaan perlembagaan itu akan dilakukan pada mesyuarat agung triennial (TGM) parti yang dijadual diadakan Jun depan.

“Sekarang kami sudah tubuhkan jawatankuasa untuk meneliti cadangan penubuhan sayap itu dan kita akan pinda perlembagaan pada TGM nanti,” katanya.

- Bernama