Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam tak jadi panggil Najib beri keterangan pembelaan Rosmah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib Razak tidak akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan dalam kes rasuah isterinya Rosmah Mansor, berhubung projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Peguam bela Jagjit Singh memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, mereka membuat keputusan itu semalam memandangkan keterangan bekas perdana menteri itu hanya akan bersifat menyokong (corroborative).

Sebelum ini dilaporkan peguam Rosmah meminta untuk memanggil Najib bagi memberikan keterangan dari kandang saksi dalam perbicaraan rasuah mengenai projek untuk membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu.

Semasa prosiding terbuka di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan, Jagjit berkata pasukan pembelaan membuat keputusan untuk tidak memanggil Najib, memandangkan keterangan saksi-saksi lain dalam prosiding lalu telah menyokong beberapa isu berkaitan kes tersebut.

“Hari ini, pasukan pembelaan dijadualkan memanggil DW3 (Saksi Pembelaan 3) Najib Razak.

“Bagaimanapun, selepas sesi brainstorming (pemerahan otak) pada Sabtu hingga lewat malam Ahad (semalam), pasukan pembelaan membuat keputusan untuk tidak memanggil Najib sebagai saksi (pembelaan) ketiga, memandangkan keterangannya hanya banyak bersifat menyokong.

“Kami percaya sifat menyokong dalam keterangannya nanti sudah pun dibuktikan oleh pasukan pembelaan.

“Atas alasan ini, kami menyusun semula strategi dan membuat keputusan bahawa kami tidak berhasrat memanggil dia (Najib). Saya setulus hati memohon maaf kepada yang arif atas keputusan ini,” kata Jagjit.

Peguam bela itu kemudian memohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan rasuah solar itu bukan hanya untuk hari ini, tetapi juga untuk esok, Khamis, dan Jumaat minggu ini.

Jagjit berkata permohonan itu dibuat memandangkan saksi mereka, Siti Azizah Sheikh Abod, sedang melakukan umrah dan mungkin hanya dapat hadir pada 4 Feb.

Siti Azizah merupakan bekas penyelaras Bahagian Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram kemudian memaklumkan mahkamah bahawa pasukan pendakwaan tidak ada bantahan, memandangkan soal siapa yang mahu dipanggil sebagai saksi adalah prerogatif pasukan pembelaan.

Zaini kemudian melapangkan perbicaraan untuk hari ini, esok, Khamis dan juga Jumaat minggu ini, dan mengarahkan perbicaraan bersambung 4 Feb.

Rosmah hadir di kandang tertuduh, manakala suaminya Najib tidak kelihatan di mahkamah pagi ini.

Rosmah, 70, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

[Baca laporan asal]