Skip to main
Logo Malaysiakini

Taman tema Maps Perak 'terbiar': Nizar gesa pemaju perjelas di DUN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin menggesa perbahasan mengenai penggulungan GLC negeri PCB Development Sdn Bhd (PCBD), yang membangunkan Movie Animation Park Studios (Maps) yang kini tidak lagi berfungsi dan terbiar.

Gesaan Nizar supaya perbahasan diadakan dalam sidang DUN khas datang selepas Perak Corp Bhd (PCB) milik kerajaan negeri menangguhkan dan membatalkan dua sesi taklimat mengenai penggulungan unit milik penuhnya.

Sesi taklimat kepada Adun sepatutnya dijadualkan diadakan pada 3 Jan dan hari ini (10 Jan) tetapi telah dibatalkan.

"Kami telah syor supaya ada taklimat daripada PCB kepada semua Adun supaya kita tahu berkenaan status kedudukan PCB dan juga PCBD juga nak digulung.

"Satu tarikh 3 Jan lalu telah ditetapkan, malang dibatalkan pada saat akhir, pembatalan saat akhir dan diberikan tarikh baru, iaitu pada 10 Jan di Cassiorina Hotel jam 12 tengah hari tetapi dua hari lepas kita dapat berita bahawa taklimat hari ini dibatalkan,.

"Kita rasa kecewa dan tidak puas hati mengenai pembatalan ini," katanya.

"Kami minta satu sidang khas DUN, untuk bincang, bahas, satu tuntutan daripada Pakatan Harapan, kami hendak elak aset PCB daripada terjejas, tidak mustahil aset besar PCB akan dilelong.

"Kami mohon menteri besar sebagai pengerusi PCB cuba selesaikan," katanya pada sidang akhbar yang disiar melalui media sosial hari ini.

Nizar yang juga Adun Sungai Rapat melahirkan rasa kecewa terhadap penjelasan Menteri Besar Saarani Mohamad mengenai isu itu.

Saarani berkata kerajaan negeri berpendirian untuk tidak campur tangan dalam perniagaan syarikat milik kerajaan dan anak-anak syarikatnya, termasuk hal ehwal taman tema filem itu.

Nizar berkata Saarani gagal memberikan jawapan terperinci berkaitan penggulungan PCBD.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 6 Jan, PCB berkata anak syarikatnya telah memulakan penggulungan sukarela pemiutang dan pelikuidasi telah dilantik untuk mengawal urusan perniagaan PCBD.

PCB sendiri tergelincir ke status Nota Amalan 17 (PN17) pada Februari 2020 kerana ingkar pembayaran dan tidak dapat mengisytiharkan kesolvenan.

Dilaporkan pada Oktober 2019 bahawa unit PCB Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) gagal membayar balik kemudahan pinjaman sehingga RM280 juta.

Sementara itu, Bernama hari ini melaporkan Saarani berkata perkara itu berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, sebarang keputusan ditentukan oleh syarikat yang berada dalam senarai Bursa Malaysia dan kerajaan negeri tidak mengalami kerugian kerana tidak terlibat dalam pelaburannya.

Ahmad Faizal Azumu yang juga bekas menteri besar Perak pula dipetik berkata langkah penggulungan syarikat tersebut adalah keputusan bijak oleh pihak pengurusan kerana tindakan itu bagi menjimatkan perbelanjaan syarikat induk iaitu PCB.

“Kita mesti faham yang ditutup ini adalah syarikat sendirian berhad di bawah PCB. 

"Anak syarikat yang ditutup untuk menjimatkan perbelanjaan syarikat utama," katanya.

[Baca berita asal]