Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir: MCA minta kerajaan Selangor ikut nasihat Otai Reformis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MCA menggesa kerajaan Selangor supaya mendengar nasihat NGO Otai Reformis 1998 supaya membawa isu pengurusan banjir di negeri itu ke Jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan Selangor (Selcat).

Ahli jawatankuasa MCA, Lau Chin Kok, berkata ia penting bagi menyiasat prosedur pengurusan banjir di negeri itu serta peranan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Selangor yang kurang memuaskan dalam memastikan bencana itu tidak berulang.

"Sedia maklum, banjir yang melanda negeri Selangor baru-baru ini memberi mimpi ngeri buat penduduk. Ia bukan sahaja merosakkan harta benda, tetapi juga meragut banyak nyawa.

"SUK negeri Selangor dilihat gagal mengendalikan bilik gerakan bencana di bangunan SUK dengan baik sehingga telah menyebabkan aset-aset agensi kerajaan negeri, termasuk aset-aset pihak berkuasa tempatan (PBT) lambat dihantar ke kawasan-kawasan bencana banjir.

"Lebih menyedihkan, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sendiri tidak tahu peranan jawatankuasa pengurusan bencana negeri dipengerusikan oleh SUK sehingga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Noh Omar, iaitu orang yang cuba dipersalahkannya, terpaksa mengadakan sidang akhbar untuk 'menyekolahkannya' pada 22 Dis lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, NGO dikaitkan PKR, Otai Reformis 1998 itu menggesa Selcat menyiasat prosedur pengurusan banjir di negeri itu bagi mengelakkan berulangnya bencana pada hujung tahun lalu.

Setiausaha kumpulan itu, Razak Ismail berkata jawatankuasa dwiparti DUN itu perlu menyiasat "peranan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang kurang memuaskan.

Kata Razak lagi, hasil siasatan Selcat perlu didedahkan kepada umum memandangkan pengurusan banjir merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.

"Otai Reformis 1998 mempertikaikan peranan, Datuk Haris Kasim, Datuk SUK Negeri Selangor semasa atau sebelum berlakunya banjir besar di beberapa lokaliti di sekitar Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Sg Buloh dan Kuala Selangor," kata Razak.

Sementara itu, Pemuda Amanah Selangor menggesa kerajaan negeri menubuhkan Majlis Pemulihan Bencana dan Suruhanjaya Siasatan Diraja apakah projek pembangunan atau pembalakan menjadi punca banjir di negeri itu.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Selangor, Muhammad Nabil Norhalim, berkata Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang ditubuhkan dari awal tidak menunjukkan sebarang hasil atau tindakan berkaitan banjir dan bencana alam.

"Justeru, Pemuda Amanah Selangor ingin mengusulkan, ditubuhkan Majlis Pemulihan Bencana yang diletak di bawah Kerajaan Persekutuan tetapi melapor secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Jawatankuasa ini mestilah melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan, ahli akademik, pihak swasta dan pemimpin lapangan," katanya.