Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan bekas pegawai SPRM: Azam tak bersalah hingga dibuktikan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua pihak agar berhenti membuat spekulasi ketika menunggu siasatan berhubung isu pegangan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.

Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, Mazlan Mohamad, berkata pihaknya memandang serius dakwaan terhadap Azam namun berpegang teguh kepada prinsip undang-undang.

"Tindakan pelbagai pihak terhadap Azam Baki secara peribadi dan institusi SPRM secara umum, juga dilihat keterlaluan serta seolah-olah Azam Baki dan Institusi SPRM itu sendiri ‘bersalah’ atas tohmahan yang dilemparkan, sehingga boleh mengakibatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap agensi tunggal pencegahan rasuah negara ini terjejas teruk.

"Persatuan ini berdiri teguh atas prinsip undang-undang bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh proses undang-undang dan bukannya melalui perbicaraan awam atau perbicaraan media," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, persatuan itu mempunyai keyakinan yang tinggi ke atas sistem keadilan jenayah di negara ini serta proses perundangan yang menjamin ‘maruah’ individu serta organisasi, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, Persatuan ini berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi ke atas isu berkaitan tetapi menanti keputusan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Sekuriti, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri dan pihak Suruhanjaya Sekuriti," katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Sabtu lalu membuat gesaan yang sama kepada semua pihak untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan melalui

Awal hari ini, sekumpulan ahli dan penyokong Pemuda PKR mengadakan bantahan secara aman di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini, menuntut Azam berundur.

Azam menjadi perhatian baru-baru ini selepas timbul dakwaan mengenai dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah ketua bahagian siasatan SPRM.

Bagaimanapun, dalam sidang media pada 5 Jan lepas, Azam berkata dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana saham itu dibeli adiknya yang hanya menggunakan akaun perdagangannya.

Pada hari yang sama, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Abu Zahar Ujang berkata Azam telah menjelaskan perkara itu kepada mereka pada 24 Nov tahun lepas.

Abu Zahar juga mendakwa LPPR berpuas hati bahawa tiada salah laku membabitkan Azam.

Bagaimanapun, dakwaan Abu Zahar itu kemudiannya dipertikaikan oleh enam ahli lembaga pengarah yang lain, yang mengatakan bahawa ia bukan pendirian badan itu dan menyifatkan pandangan peribadi Abu Zahar.

Suruhanjaya Sekuriti juga telah memaklumkan yang pihaknya akan menghubungi Azam atas pengakuan bahawa adiknya telah menggunakan namanya untuk membeli saham.