Pengerusi LPPR salahkan media, serahkan kedudukan kepada Agong
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang mempersalahkan media berhubung kontroversi yang timbul daripada sidang medianya pada 5 Januari lalu ketika dia mengisytiharkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung pemilikan saham bernilai sekitar RM700,000 pada 2015.
Abu Zahar berkata dia amat menyedari bahawa LPPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat salah laku jenayah oleh pegawai SPRM.
Justeru, dirinya tidak membantah siasatan rasmi oleh pihak berkuasa. Katanya, berita yang disiarkan tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbangkan kepada salah tanggapan di kalangan masyarakat.
“Seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan media bertulis 5 Januari itu, siasatan berkaitan ‘alegasi salah laku terhadap Azam Baki masih terbuka untuk diteruskan oleh mana-mana agensi yang mempunyai kuasa di atas pendapat dan seliaan daripada Pejabat Peguam Negara, dan saya mahupun mana-mana rakan anggota saya yang lain dalam LPPR, saya percaya, tidak langsung berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut itu, jika ada, malah adalah digalakkan atas konsep kedaulatan undang- undang, supaya nama baik dan integriti SPRM akan sentiasa berada di tahap tertinggi menurut lunas undang-undang.
“Sekiranya kenyataan media 5 Januari lalu saya telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan seperti yang dinyatakan di atas, sehingga ke tahap ia menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya, yang mana sememangnya tidak dihasratkan, saya serahkan kepada budibicara mutlak kerajaan dan Ke Bawah Duli Yang Mulia, Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukan saya sebagai Pengerusi LPPR, yang mana adalah satu amanah yang telah saya laksanakan setakat ini, tanpa mengambil pihak.
“Saya semestinya akan akur dengan keputusan itu,” katanya dalam satu kenytaaan hari ini.
Pada sidang media 5 Januari itu, Abu Zahar menjelaskan bahawa saham berkenaan bukan milik Azam tetapi sebaliknya dibeli oleh adiknya atas namanya.
Abu Zahar berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tidak mempunyai sebarang kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai