Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenyataan penuh pengerusi LPPR SPRM isu sidang media 5 Jan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya perlu untuk keluarkan kenyataan media ini untuk meletakkan beberapa perkara berhubung sidang media yang diadakan pada 5 Januari yang lalu, dalam perspektif yang betul dan tepat, sepertimana ia telah dihasratkan, namun, malangnya telah memberikan gambaran yang tidak tepat kepada masyarakat awam yang mengikuti laporan media berkaitan.

Yang pertamanya, semasa sidang media itu kenyataan media penuh sebanyak 13 halaman muka surat yang mengandungi keseluruhan kenyataan saya telah diedarkan, yang malangnya juga saya dapati, tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbangkan kepada salah tanggapan di kalangan masyarakat.

Terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan "alegasi salah laku" terhadap Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, yang telah diberi pandangan dan pendapat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), tetapi itupun tidak disentuh dan dilaporkan media. Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tertular, cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya.

Walau apapun, saya sebagai pengerusi LPPR sememangnya sedar dan tahu bahawa LPPR tidak mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan sendiri berkaitan apa-apa salah laku jenayah terhadap mana-mana pegawai SPRM, dan cuma mempunyai kuasa untuk memberi pandangan dan cadangan tentang cara siasatan wajar dilakukan dalam keadaan-keadaan tertentu selari dengan peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694.

Pandangan dan cadangan LPPR itu boleh didapati dengan nyata secara khususnya di muka surat 6 (ii) dan (iii) di sana, yang mana tidak diniatkan mahupun dihasratkan untuk menghalang satu siasatan menyeluruh oleh mana-mana agensi kerajaan yang berkuasa dan bebas untuk melakukan siasatan rasmi berkaitan "alegasi salah laku" terhadap Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki itu.

Yang keduanya, saya perlu nyatakan perasaan dukacita saya dengan kenyataan media 8 Januari 2022 yang dikeluarkan oleh kesemua enam rakan anggota LPPR, yang ingin menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media 5 Januari itu, yang saya percaya adalah dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak dan masyarakat semata-mata kerana tidak dilaporkan dengan tepat dan menyeluruh oleh media.

Walau bagaimanapun, saya akan membuat kenyataan balas secara terperinci berkaitan kenyataan media yang dikeluarkan oleh kesemua keenam rakan anggota LPPR secara khusus ditajuk berasingan.

Yang ketiganya, seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan media bertulis 5 Januari itu, siasatan berkaitan "alegasi salah laku" terhadap Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki itu, masih terbuka untuk diteruskan oleh mana-mana agensi yang mempunyai kuasa di atas pendapat dan seliaan daripada Pejabat Peguam Negara, dan saya mahupun mana-mana rakan anggota saya yang lain dalam LPPR, saya percaya, tidak langsung berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut itu, jika ada, malah adalah digalakkan atas konsep kedaulatan undang- undang, supaya nama baik dan integriti SPRM akan sentiasa berada di tahap tertinggi menurut lunas undang-undang.

Akhir kata, sekiranya kenyataan media 5 Januari 2022 saya telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan seperti yang dinyatakan di atas, sehingga ke tahap ia menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya, yang mana sememangnya tidak dihasratkan, saya serahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Kebawah Duli Yang Dipertua Agong untuk menentukan kedudukan saya sebagai pengerusi LPPR, yang mana adalah satu amanah yang telah saya laksanakan setakat ini, tanpa mengambil pihak. Saya semestinya akan akur dengan keputusan itu.

Maklum balas saya berkaitan dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh enam rakan anggota ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) pada 8 Januari 2022

Izinkan saya menjelaskan perhubungan baik saya dengan kesemua enam rakan anggota ahli LPPR SPRM semenjak kita semua dilantik menganggotai ahli jawatankuasa penasihat SPRM mengikut Peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694.

Berikut adalah kronologi perhubungan saya dengan ahli-ahli jawatankuasa LPPR SPRM sehingga berlakunya tindakan kesemua enam ahli-ahli tersebut mengeluarkan kenyataan media pada jam 1:15 petang, 8 Januari 2022:

Pada tarikh 7 Januari 2022, jam 6:19 petang, Datuk Seri Azman Ujang, telah menghantar pesanan Whatsapp kepada saya, “The issue is getting hotter and hotter”.

Pada jam 6:22 petang, Datuk David Chua Kok Tee telah memberi respond kepada text Datuk Seri Azman Ujang, “LPPR need to meet and discuss this matter urgently and come up with a clear statement to state LPPR position by early next week. Keep silent is not an option”.

Pada jam 6:27 petang, Tan Sri Ismail Omar text; “Yes we’re meeting on 11th Jan. Need to address relevant issues”.

Di atas pandangan dan permintaan mereka saya telah menyatakan persetujuan saya untuk mengadakan perjumpaan tertutup tersebut diadakan pada tarikh 11 Januari 2022, jam 10:00 pagi di Pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta Kuala Lumpur.

Tiba-tiba pada tarikh 8 Januari 2022, saya dapati kesemua enam ahli-ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat antara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu saya, dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media.

Saya berpendapat bahawa Kenyataan Media yang dibuat oleh keenam (6) ahli-ahli tersebut amatlah dikesali.

Akhir sekali, sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila bila masa.

Sebagaimana yang telah saya tegaskan daripada mula-mula lagi bahawa, yang lebih penting ialah kedudukan Institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat, yang bertujuan utamanya memerangi gejala jenayah rasuah dan salah guna kuasa tanpa khuatir “without fear or favour”.


ABU ZAHAR UJANG ialah pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.