Skip to main
Logo Malaysiakini

Abu Zahar kesal rakan LPPR sangkal pendiriannya sebelum mesyuarat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang melahirkan rasa kesal dengan tidakan enam anggota lembaga itu yang mengeluarkan kenyataan mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, tanpa memaklumkannya terlebih dahulu.

Ini susulan tindakan keenam-enam anggota LPPR yang menyatakan kenyataan Abu Zahar untuk membersihkan Azam daripada sebarang salah laku, adalah sepenuhnya pendirian peribadi bekas presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan ketua Umno Bahagian Kuala Pilah berkenaan.

Pada sidang media hari ini, Abu Zahar berkata beliau bersedia untuk disiasat pada bila-bila masa.

“Izinkan saya menjelaskan perhubungan baik saya dengan kesemua enam rakan anggota ahli LPPR SPRM semenjak kita semua dilantik menganggotai Ahli Jawatankuasa Penasihat SPRM mengikut Peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694,” katanya.

Dia kemudian berkongsi pertukaran pesanan ringkas Whatsapp dengan beberapa anggota yang berkata “isu tersebut semakin panas” dan mencadangkan supaya LPPR berjumpa dan membincangkannya.

Menurut Abu Zahar, dia kemudian memutuskan untuk memanggil perjumpaan tertutup pada pagi 11 Januari di pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta, Kuala Lumpur berikutan permintaan daripada rakan-rakannya itu.

“Tiba-tiba pada tarikh 8 Januari lalu, saya dapati semua enam ahli-ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat di antara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu saya, dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media.

“Saya berpendapat bahawa kenyataan media yang dibuat oleh keenam-enam ahli-ahli tersebut amatlah dikesali.

“Sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila-bila masa,” katanya.

Menurut Abu Zahar, bahawa, yang lebih penting ialah kedudukan institusi SPRM mendapat sokongan daripada rakyat, yang bertujuan utamanya memerangi gejala jenayah rasuah dan salah guna kuasa tanpa khuatir.

Enam anggota LPPR yang tidak bersependapat dengan Abu Zahar itu adalah Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara.

Azam mendakwa bahawa dia telah memaklumkan kepada LPPR bahawa akaun perdagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham tersebut, dan Abu Zahar pula mendakwa LPPR berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula berkata pihaknya akan bercakap dengan ketua pesuruhjaya SPRM itu selepas dia mengaku adiknya, Nasir telah menggunakan nama akaun dagangannya untuk membeli saham.