BELASUNGKAWA | Ah Boon dan sunyi yang ditinggalkan
BELASUNGKAWA | Beberapa hari terawal sebaik bertugas di Alor Setar sekitar 2013, saya berkenalan dengan Ng Eng Boon yang mesra disapa sebagai Ah Boon. Dia pemuda berbadan gempal berkaca mata dengan segaris senyum yang tidak pernah pudar. Dia 10 tahun lebih berusia berbanding saya.
Sebagai wartawan yang masih setahun jagung, perkenalan dengan wartawan bukan Melayu itu mengujakan. Ah Boon seorang yang sederhana dalam segala hal (kecuali makan).
Saya tidak sedar bagaimana dan apa yang menjadikan kami rapat. Rapat bukan saja atas faktor bekerja dalam bidang sama, bahkan melalui waktu-waktu yang terisi dengan aktiviti yang dilakukan secara bersama seperti menjadi rutin.
Di antara kami ada Nelson Ooi, dan kemudian disusuli Oh Chin Eng dan kawan-kawan berbangsa Cina yang lain.
Mungkin juga disebabkan latar belakang dan faktor persekitaran membesar dalam suasana kampung di Kelantan menyebabkan saya tidak terdedah atau berpeluang untuk rapat dengan mana-mana kawan Cina atau kaum-kaum lain sebelum itu. Begitu juga di sekolah hingga persekitaran kampus.
Sehinggalah tuhan pertemukan saya dengan Ah Boon yang sentiasa ceria, tenang dan yakin. Anak jati Alor Setar itu juga kemudian menjadikan saya semakin ramai kawan-kawan bukan Melayu.
Kemudian saya tidak lagi berasa kekok untuk berkawan dengan orang Cina, India atau bangsa lain, sekali gus meraikan kepelbagaian kaum di negara ini dengan hati yang terbuka.
Hidup sebagai orang bujang
Pergi kerja, lepak makan, membeli-belah, tengok wayang, berenang dan berjalan-jalan 'pi sana pi sini' - semakin banyak masa diluangkan bersama.
Sepanjang saya bertugas di Kedah sebagai wartawan Sinar Harian ketika itu, Ah Boon menjadi keutamaan saya dalam aktiviti harian. "Esok hang pi assignment mana? Esok ada apa (program) menarik? Makan di mana? Esok tak kerja mahu lepak mana?"
Itu soalan-soalan lazim yang kami saling tanya. Hidup sebagai orang bujang ketika itu memberi ruang yang banyak kepada kami dan rakan-rakan lain bersosial serta melakukan aktiviti yang kami suka.
Begitu juga bekerja. Kami ke sidang media, membuat tinjauan, dan ke tempat-tempat ceramah politik tidak kira siang atau malam. Banyak masa kami bertemu dan menjadi akrab.
Dalam tempoh itu Ah Boon mengajar banyak perkara dan sesetengahnya baru kini barangkali saya sedari.
Misalnya Ah Boon - dengan sikapnya yang tidak pernah marah - memberi teguran dengan begitu bersahaja jika ada perkara yang salah atau tidak digemarinya. Jika saya memandu dengan laju dia akan kata: "Ini orang gila mahu pergi mati ka?"
Juga dia selalu menasihatkan supaya saya berhenti merokok.
"Hang akan mati dulu pasai merokok sangat bahaya," katanya.
Kemudian saya akan jawab: "Hang akan mati dululah pasal hang makan banyak, tapi tak bersenam." Menyulusi dialog itu ialah ketawa kami yang pecah secara spontan.
Tak mahu berhijrah
Ada satu tahun saya tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut Aidifitri. Lalu saya raikan hari lebaran di perantauan, yakni di Alor Setar. Maka sempatlah Ah Boon dan rakan-rakan lain menjamu selera dengan ketupat Kelantan, tapai beras dan menu lain yang diimport dari Kota Bharu.
Lebih membuatkan saya terharu, Ah Boon sanggup memandu Perodua Kancil miliknya dari Alor Setar ke Kota Bharu pada hari kenduri perkahwinan saya. Kehadirannya bersama Nelson dan Chin Eng itu menjadi tetamu tumpuan penduduk kampung.
Siang berkenduri, malam mereka turut berdikir barat. Telatah Cina utara itu kadang-kadang mencuit hati.
Waktu-waktu sedemikian kemudian terhenti apabila saya berhijrah ke Lembah Klang dan bekerja di Malaysiakini pada pertengahan 2015. Nelson dan Chin Eng juga selepas itu meninggalkan Alor Setar.
Namun Ah Boon kekal bersama Sin Chew Daily di Kedah. Dia tidak mahu berhijrah ke mana-mana.
Pun begitu hubungan kami kekal akrab melalui kemudahan dalam talian. Ah Boon sempat berkunjung ke Petaling Jaya pada 2016 kerana mahu berkenalan dengan cahaya mata pertama saya.
Setiap tahun berikutnya kami pasti akan bertemu sekurang-kurang sekali dalam setahun, sehinggalah munculnya wabak Covid-19.
Berkongsi kenangan dengan kawan
Kali terakhir kami bertemu ialah di Alor Setar pada 2019. Ketika itu dia mahu melihat anak kedua saya yang baru berusia setahun.
Ada beberapa perancangan yang kami cuba atur. Misalnya untuk melancong bersama selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan. Nampaknya ia hanya akan tinggal harapan saya apabila Ah Boon sudah tiada lagi.
Pada usia 44 tahun lelaki kelahiran 31 Ogos 1978 itu menutup usia tanpa sebarang isyarat awal agar kami bersedia. Dia pergi dengan meninggalkan banyak hal baik dan kesunyian yang panjang.
Beberapa hari sebelum itu Ah Boon sempat menghantar gambar-gambar lama yang diambilnya. Dia berkongsi kenangan itu dengan rakan-rakan media di Alor Setar. Juga gambar-gambar kenangan kami bersama turut dihantar melalui grup WhatsApp.
Hadir memberi penghormatan terakhir buat Ah Boon pada Khamis dan Jumaat lalu menyedarkan saya bahawa ramai orang menyayangi lelaki berbadan agak gempal itu. Dan mereka semua benar-benar merasai kehilangan.
Boon, kutuliskan ini dengan tergesa-gesa dan sedikit lewat bagi memberi ruang agar segala rasa benar-benar sebati. Kerana percakapan harian kita tiba-tiba terhenti. Tidak ada lagi orang akan marah hang sebab tidak bersenam dan makan banyak. Terima kasih untuk segala yang menjadi kenangan kepada kami.
segala rasa kusatukan
agar sebati
kerana mengenangmu
tak perlu dipaksa-paksa
mengembaralah kawan
ini hanya tentang hidup
dan tetap mati, semuanya.
Alor Setar - Georgetown - Kota Bharu | 11 Januari 2021
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai