Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Rasuah: Orang mukmin berdosa tetap akhirnya masuk syurga?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Di suatu ketika, presiden PAS pernah menciap di Twitternya:

"PAS berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang Muslim yang beriman diterima taubatnya oleh Allah manakala sebaik-baik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada hari kiamat kelak."

Terus terang; ia adalah ungkapan yang benar tetapi bermaksudkan yang batil. Ungkapan atas nama agama tetapi disadurkan untuk tujuan politik.

Pernyataan ini dalam tidak sedar menjadi lesen bawah minda separa sedar bahawa tiada perlulah khuatir kejahatan dan kemungkaran yang dibuat oleh orang mukmin kerana tetap ada pintu taubat yang boleh membuka kunci syurga.

Jika pun tidak sempat bertaubat, tetapi kerana akidahnya tetap di atas kalimah syahadah, maka ke syurga jua walaupun mungkin diperap dulu di dalam api neraka.

Inilah pemikiran yang menjahanamkan umat Islam dan Melayu kini. Hari ini, dalam kaget isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa di peringkat paling tinggi, ulama-ulama daripada parti Islam ini seakan membisu.

Senyap. Diam. Katup mulut sekatup-katupnya. Lebih haru apabila setiausaha agung parti ini membuat kenyataan rasmi bertulis yang akal waras rasional seakan tidak dapat percaya.

Masyarakat bukan Islam dalam negara ini adalah manusia. Mereka juga rakyat. Fitrah yang sama ada pada mereka untuk benci rasuah dan jelik melihat kelakuan rasuah yang sudah membarah. Mereka juga rakyat yang faham kesan buruk rasuah ini pada negara.

Dan sebahagian mereka atas kesedaran yang sama, memilih untuk menentang maksiat ini atas jalur politik. Dan mahu membuat perubahan kuasa. Hanya yang dipilih mereka ialah parti yang di luar lingkaran parti Bani Melayu dan Islam ini.

Dek kerana inilah, apa jua usaha baik mereka dikandangkan dalam reban rasis yang dibunyikan dengan pelbagai label. Komunis, penentang islam, menentang raja, dan pembenci Melayu.

Soalnya Melayu mana? Melayu perasuah yang ramai juga Melayu-Islam membenci keburukan ini. Tetapi mauduk murni ini ditutup dengan segala usaha dinyalakan api perkauman. Dibesar-besarkan perkara ranting sedang akar tunjang yang buruk itu tetap mahu dijaga.

Saya melihat sudah tiba masanya untuk para asatizah, akademik dan agamawan untuk lebih berani tampil ke depan menegur serta melawan salah guna agama 'ulama' yang menunggang Islam demi politik.

Lewat ini sudah terampil semula suara-suara dari agamawan bertaraf mufti yang memberikan pandangan akan perlunya dirombak institusi lawan rasuah dan memperingatkan tanggungjawab Muslim untuk melawan dosa besar ini.

Kita rakyat yang benci rasuah akan sambut. Pasti. Iman dan kesedaran kita membenci perkara ini ibarat ulat tahi.

Namun, asatizah perlu lebih berani ke depan memimpin perubahan. Setiap kenyataan dan kelakuan yang merosakkan akal fikiran waras perlu dibetulkan. Jika ia datang dari suara mufti dan akademik, ia lebih laku. Kendati pun tidak menyarung jersi parti politik.

Daripada Terengganu ada ulama tersohor yang meletakkan syarat jika Allah SWT ingin menurunkan bala kepada sesuatu umat, ia perlu memenuhi dua kondisi. Satu, kemaksiatan itu dilakukan terbuka bahkan seakan diterima masyarakat.

Kedua, orang baik dalam masyarakat tidak bersuara, mengasing diri dan lebih buruk jika menjebakkan diri. Dalam kondisi ini, bala boleh turun sebagai peringatan.

Jika segala ujian rakyat hari ini, yang datang tanpa henti dari wabak sehingga banjir, mahu dikaitkan dengan azab bala dari dosa terbuka.

Maka tidak syak lagi, dosa rasuah dan salah guna kuasa adalah dosa maksiat yang paling tiada hijab dalam masyarakat, kini.

Semoga Allah mengampunkan kita.


ZAMIR GHAZALI ialah ketua Pemuda Amanah Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.