Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosmah fail permohonan baru pinggirkan Sri Ram kes pengubahan wang RM7 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rosmah Mansor memfailkan permohonan baru untuk mengenepikan hakim perbicaraan daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai RM7 juta terhadapnya.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu juga akan memfailkan permohonan baru untuk membatalkan kelayakan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes itu.

Pasukan peguam Rosmah hari ini memaklumkan kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan mengenai hasrat mereka untuk memfailkan permohonan itu.

Pada 14 Dis tahun lepas, mahkamah menolak permohonan pertama Rosmah agar Zaini diketepikan daripada mendengar kesnya atas dakwaan berisiko berat sebelah dan prejudis.

Rosmah juga sebelum ini gagal dalam cabaran undang-undang untuk membatalkan kelayakan Sri Ram daripada mendakwanya dalam kes rasuah berasingan membabitkan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Zaini bukan sahaja menghakimi kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah, yang masih belum dibicarakan, tetapi juga perbicaraan kes rasuah berhubung projek tenaga hibrid solar yang sedang berlangsung.

Sri Ram adalah ketua DPP dalam kedua-dua kes mahkamah jenayah terhadap Rosmah.

Gopal Sri Ram


Prosiding hari ini di hadapan Zaini pada mulanya dijadualkan untuk mendengar permohonan Rosmah menangguhkan perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, sementara menunggu penyelesaian rayuannya ke Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan hakim.

Ketika Rosmah melihat dari kandang tertuduh, peguam belanya Reza Rahim memaklumkan mahkamah bahawa permohonan baru telah difailkan semalam untuk meminggirkan Zaini.

Peguam itu berkata bahawa permohonan terbaru itu adalah atas alasan baru. Bagaimanapun, dia tidak menyatakan alasan yang dimaksudkan.

“Permohonan kedua adalah berdasarkan alasan yang lebih luas kerana (didakwa) mustahil (bagi Zaini) untuk membawa pandangan segar kepada prosiding semasa,” kata Reza.

Peguam bela Rosmah yang lain, Geethan Ram Vincent, kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka juga akan memfailkan permohonan baru untuk melucutkan kelayakan Sri Ram sebagai DPP dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Geethan berkata pasukan pembelaan membuat keputusan untuk memfailkan permohonan itu selepas menerima salinan surat pelantikan Sri Ram (fiat) semasa prosiding hari ini.

“Kami mengambil pendirian bahawa jika fiat ini bersifat umum, maka ia tidak mengapa, tetapi secara khusus menyebut dia (Sri Ram) hanya diberi kuasa untuk mendakwa dalam dua kes (dua fail secara kolektif merujuk kepada kes rasuah solar) terhadap anak guam saya.

"Kes (pengubahan wang haram dan pengelakan cukai) hari ini tidak dinyatakan di sini," kata Geethan.

Sri Ram selepas itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan membangkitkan bantahannya dalam hujahan terhadap permohonan hilang kelayakan yang baru yang belum difailkan terhadapnya, serta permohonan yang telah difailkan untuk meminggirkan Zaini.

Sri Ram menegaskan Zaini sebelum ini memutuskan dalam prosiding solar berasingan untuk menolak permohonan Rosmah melucutkan kelayakannya sebagai DPP dalam kes itu, justeru niat pihak pembelaan untuk memfailkan permohonan baru untuk membatalkan kelayakannya akan menyamai penyalahgunaan proses mahkamah.

Zaini menetapkan 24 Jan untuk mendengar pelbagai permohonan Rosmah.

[Baca berita penuh]