Dakwaan gangguan seksual: Hakim syarie kata ada konspirasi
Hakim kanan yang terpalit dalam dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang sudah berkahwin mendakwa terdapat konspirasi oleh beberapa individu dalam Jabatan Kehakiman Syariah untuk menjatuhkannya.
Ini menurut laporan polis yang dibuat hari ini oleh hakim Mohd Na'im Mokhtar (gambar atas), yang adalah Ketua Pengarah jabatan itu dan juga Ketua Hakim Syarie Malaysia.
Dalam laporannya, Na'im "menafikan sekeras-kerasnya" dakwaan bahawa dia melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di rumahnya seperti yang didakwa.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wanita itu dan saya telah membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasatnya kerana membuat laporan polis palsu, yang didalangi beberapa individu yang mahukan jawatan saya serta cuba menjatuhkan saya.
“Saya telah memberikan kerjasama kepada polis dalam siasatan mereka, dan menyerahkan nama individu yang masih berkhidmat di jabatan di bawah arahan saya,” kata hakim itu dalam laporan polisnya.
Na'im juga mendakwa bahawa ini bukan percubaan pertama untuk menjatuhkannya. Katanya, sebelum ini, individu yang sama cuba mengaitkannya dengan seorang wanita lain tetapi ini dikatakan tidak berjaya.
Dilaporkan polis telah memulakan siasatan terhadap seorang hakim kanan yang didakwa berbaring dalam keadaan berbogel di dalam bilik tidurnya pada 2020.
Menurut laporan berita, kejadian didakwa berlaku pada Ogos 2020 ketika hakim berkenaan melawat rumah wanita itu, yang tinggal bersama suaminya.
Hakim itu pada bulan yang sama membuat laporan balas polis, mendakwa wanita berkenaan telah membuat laporan polis palsu terhadapnya.
Saman fitnah
Sementara itu, peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Na'im memberitahu Malaysiakini bahawa hakim itu juga akan menyaman ahli politik Lokman Noor Adam atas tuduhan memfitnah.
Bekas pemimpin Umno itu didakwa menyerang kredibiliti Na'im berhubung kes berkenaan dalam klip video yang telah tular di media sosial.
“Anak guam saya akan saman Lokman Adam kerana memfitnah.
"Surat saman akan dikeluarkan kepada Lokman oleh firma guaman saya esok," kata Akberdin.
Dalam laporan polis hari ini, Na'im berkata tuduhan Lokman terhadapnya telah mencemarkan imej dan integritinya.
Hakim itu berkata bahawa Lokman berniat jahat dan telah melakukan fitnah jenayah terhadapnya.
"Sepatutnya Lokman mendapatkan cerita daripada kedua-dua pihak dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.
"Malangnya, dia membuat tindakan melulu dengan membuat dakwaan serius terhadap saya sedangkan semua yang dia katakan itu adalah tidak benar," kata Na'im.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai