Skip to main
Logo Malaysiakini

Sektor prasekolah wajar diberi subsidi, kata Pejuanita

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuanita) Malaysia berpendapat kerajaan wajar memberikan subsidi kepada pengusaha pusat pendidikan prasekolah bagi mengurangkan bebanan ditanggung pelbagai pihak.

Ketuanya Che Asmah Ibrahim berkata ada banyak ruang subsidi boleh diberikan kerajaan terhadap industri berkenaan termasuk pemotongan cukai perkhidmatan tersendiri

Katanya langkah tersebut boleh meringankan kos yang ditanggung oleh pengusaha terbabit seperti kadar tarif elektrik dan sewa premis.

"Penjimatan daripada kos ini perlu dipulangkan kepada ibu bapa melalui pengurangan yuran pada kadar berpatutan yang dikawal oleh pihak kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Asmah berkata demikian sebagai mengulas laporan media mengenai beban ditanggung ibu bapa - termasuk golongan M40 - apabila kadar yuran pendidikan prasekolah dikatakan semakin meningkat.

Katanya kesedaran orang ramai terhadap kepentingan perkembangan otak pada peringkat awal yang kritikal mendorong ibu bapa menghantar anak masing-masing ke pusat pendidikan prasekolah.

Hal itu kerana, katanya, ia dianggap sebagai pelaburan yang cukup penting buat mereka.

Dalam fasa pemulihan daripada pendamik Covid-19 dan peningkatan kos sara hidup masa kini, kata Che Asmah, kadar yuran sekitar RM300 ke RM500 sebulan (tidak termasuk yuran tahunan) khususnya di sekitar Lembah Kelang menjadi bebanan kepada ibu bapa yang mahukan pendidkan yang terbaik buat masa depan anak-anak mereka

Pada masa yang sama, katanya, Pejuanita Malaysia juga memahami peningkatan kos mengendalikan tadika yang perlu ditanggung oleh pengusaha tadika - yang sebahagian besarnya terdiri daripada wanita - akibat peningkatan kos sara hidup.

"Pejuanita Malaysia juga mahu supaya industri prasekolah ini dikawal selia di bawah satu kementerian khusus seperti Kementerian Pendidikan Malaysia dan bukan beberapa kementerian yang berbeza," katanya lagi.

Ia dianggap penting, katanya, bagi memastikan kualiti pembelajarannya memenuhi piawaian yang ditetapkan.

"Ini termasuk menik taraf kualiti pembelajaran di tadika kendalian kerajaan seperti Tadika Kemas.

"Pejuanita Malaysia berpandangan apa-apa pelaburan yang melibatkan kanak-kanak adalah merupakan langkah yang strategik dan terbaik yang perlu diberi keutamaan demi masa depan negara," katanya.