Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi gesa Shahidan jelaskan status 6 kolam takungan banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bertegas supaya Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim memberi penjelasan mengenai status enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang diberi milik untuk projek pembangunan.

Fahmi berkata janji Shahidan untuk tidak lagi memberi milik tanah kolam takungan banjir untuk pembangunan hanya terpakai kepada baki sembilan kolam yang masih belum diberi milik.

"Saya terima baik janji Shahidan bahawa tiada lagi kolam takungan banjir yang akan diberi milik untuk pembangunan.

"Tapi jika diteliti kenyataan menteri, ia terpakai bagi baki sembilan kolam yang belum diberi milik. Tapi bagaimana dengan enam yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 siri 2?

"Oleh itu, saya pohon penjelasan dari menteri apakah status enam kolam banjir yang telah dijual/diberi milik sejak 2015? Adakah telah diberi Kebenaran Perancangan (DO), atau tidak? Atau dibatalkan?" kata Fahmi dalam satu kenyataan hari ini.

Fahmi merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara 2019 yang menyenaraikan tarikh enam kolam itu diluluskan untuk pembangunan, dan syarikat yang diberi milik.

Enam kolam tadahan yang dimaksudkan ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh juga menggesa SPRM menyiasat pengasingan enam kolam tampung banjir.

Awal hari ini, Shahidan dilaporkan memberi jaminan bahawa kolam takungan banjir sedia ada di Kuala Lumpur akan dipelihara dan tidak akan diberi milik untuk pembangunan.