Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah arah peguam fail pembelaan terhadap saman Hilman

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam yang mewakili seorang individu yang didakwa menjadi mangsa rogol, Asheeq Ali Sethi Alivi diarahmemfailkan kenyataan pembelaan sebelum 20 Jan terhadap saman fitnah yang difailkan oleh Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Ini susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung saman sivil oleh Ketua Pemuda Bersatu Gombak itu terhadap Asheeq.

Sebelum ini dilaporkan Hilman menyaman peguam itu berhubung sidang media yang diadakan pada 11 Ogos tahun lalu.

Pada tarikh itu, media melaporkan Asheeq mendakwa polis ketika itu masih belum bertindak atas laporan anak guamnya yang mendakwa wanita itu dirogol dua lelaki yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Hilman.

Sebelum ini dilaporkan bahawa wanita itu menyerahkan bukti yang didakwa kepada polis berhubung kejadian berkenaan.

Peguam Asheeq, Ramkarpal Singh mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berkenaan semasa pengurusan kes saman berkenaan yang dilakukan secara dalam talian semalam.

“Perintah mahkamah (kepada Asheeq) adalah untuk memfailkan (kenyataan) pembelaan sebelum 20 Jan 2022.

“Tarikh pengurusan kes seterusnya adalah pada 20 Jan 2022,” kata Ramkarpal kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Mengikut kertas kausa dalam talian, saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes seterusnya secara dalam talian di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Lailatul Zuraida Harron @ Harun pada 9 pagi, 20 Jan.

Pada 12 Dis tahun lepas, peguam Hilman dari firma guaman Hafiz Ruzaini & Co, memfailkan saman sivil berkenaan.

Menerusi pernyataan tuntutan saman itu, Hilman antara lain mendakwa Asheeq membuat kenyataan fitnah semasa sidang media pada 11 Ogos yang diadakan di hadapan ibu pejabat polis Bukit Aman.

Plaintif memenangi kerusi DUN Gombak Setia di Selangor atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, Hilman kemudian keluar dari PKR dan PH untuk menyertai Bersatu, yang kini merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN). 

Dia sebelum ini memegang jawatan sebagai timbalan ketua pemuda PKR. Asheeq pula merupakan ahli PKR.

Plaintif juga merupakan setiausaha politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali serta ketua penerangan PN.