Skip to main
Logo Malaysiakini

Tun Faisal: Besar mana kesalahan saya sampai kena gantung enam tahun

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Ketua Umno Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berharap Panel Rayuan Umno dapat menyemak semula hukuman pengantungan anggota Umno selama enam tahun ke atasnya.

Tun Faisal berkata, dia berpuas hati dengan prosedur ketika bersemuka dengan Panel Rayuan Umno semalam berhubung pengantungan keahliannya.

"Saya hargai keterbukaan panel disiplin ini kerana mereka sudi mendengar hujah saya.

"Enam tahun pengantungan saya, besar mana kesalahan yang menyebabkan saya digantung selama enam tahun.

"Harapan aya agar panel rayuan ini melihat semula justifikasi hukuman enam tahun pengantungan yang dikenakan pada diri saya adalah tak wajar," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 28 Mac tahun lalu, bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu digantung dari Umno selama enam tahun.

Surat penggantungan itu dikeluarkan selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengesahkan keputusan yang dibuat oleh lembaga disiplin parti pada 8 Mac.

Surat yang ditandatangani oleh setiausaha agung parti itu, Ahmad Maslan itu menyatakan bahawa penggantungan itu kerana melanggar tataetika sebagai ahli Umno.

Laporan Utusan Malaysia mendakwa bahawa Ketua Umno Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor mengatur laporan disiplin terhadap Tun Faisal - yang merupakan timbalannya - dipercayai kerana mengkritik presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.

Tun Faisal sebelum ini mengkritik Zahid dan pemimpin parti lain yang menyokong untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu.

Tun Faisal berkata, pengantungan selama enam tahun terhadapnya tidak wajar kerana dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap presiden ataupun membuat tuduhan tidak berasas.

"Saya harap panel rayuan boleh melihat semula kes ini...apakah justifikasi hukuman sampai enam tahun. Jadi, harapan saya juga agar panel rayuan meneliti proses rayuan ini," katanya lagi.