Siasat status FB 4 tahun lepas: ‘Polis tak ada kerja lain?’
Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan tindakan polis menyiasat Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berhubung hantaran Facebook yang dikongsinya pada April 2017.
Lim berkata polis seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membanteras jenayah dan bukannya menjadi alat politik untuk menakut-nakutkan atau mengganggu orang ramai menyuarakan fikiran mereka.
“Ketua Polis Negara, Acryl Sani perlu menjelaskan mengapa polis menyiasat Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berhubung hantaran media sosial dari empat tahun lepas – sama ada perkara ini mencerminkan ketidakcekapan polis atau salah guna kuasa di bawah kerajaan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
"Bukankah polis mempunyai perkara yang lebih baik untuk dilakukan?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysiakini semalam melaporkan Teo sedang disiasat oleh polis berhubung hantaran Facebook yang dikongsinya pada April 2017.
Ketika dihubungi, ahli parlimen pembangkang itu berkata hantaran itu pada asalnya dimuat naik oleh aktivis Fahmi Reza sebelum dikongsikan ke laman Facebook rasminya, beserta keterangan "pertahankan kebebasan berekspresi, kebebasan bersatira".
Teo menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa polis telah memaklumkan kepadanya siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (menghina dengan dengan niat untuk memecahkan keamanan).
Polis juga sedang menyiasat hantaran tersebut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (salah guna kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai