Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukan senang nak tangkap pak belang - Perhilitan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Usaha untuk menangkap haiwan pemangsa seperti harimau tidak semudah yang disangka bahkan berdepan pelbagai cabaran.

Namun itulah cabaran yang sedang dihadapi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam usaha untuk menangkap beberapa harimau belang yang berkeliaran sekitar perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, berkata antara cabaran mereka ialah usaha memburu pak belang itu membabitkan kawasan yang luas.

Katanya keadaan itu menyebabkan tindakan menjejaki harimau terbabit dari satu lokasi ke lokasi lain sangat jauh malah ada antaranya mengambil masa perjalanan sehingga tiga jam.

"Cabaran lain yang menyukarkan kami ialah keadaan jalan yang agak teruk selain ada di lokasi tertentu, anggota Perhilitan terpaksa memakir kenderaan dan perlu berjalan jauh untuk menjejaki binatang berkenaan," katanya.

Ditemui ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, semalam, Mohamad Hafid berkata sejak menerima aduan pada 10 Dis lalu, mereka sudah menggunakan pelbagai pendekatan untuk menjejaki binatang liar berkenaan.

Katanya seramai 15 kakitangan Perhilitan termasuk dari ibu pejabat kini berkampung di petempatan Orang Asli.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, pada Jumaat lalu.

Anek Along dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah ketika haiwan itu muncul kira-kira jam 9.10 pagi.

Lebih membimbangkan apabila harimau tersebut didapati berkeliaran berhampiran kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar, beberapa hari lalu.

Mohamad Hafid berkata, berdasarkan pengalaman memburu seekor harimau liar di Terengganu sebelum ini, Perhilitan Kelantan menjangkakan operasi mengangkap haiwan itu akan mengambil masa lebih sebulan.

"Harimau atau semua hidupan liar bukan mudah untuk ditangkap, kalau mereka nampak sesuatu yang baru (seperti perangkap), akan ambil masa untuk mereka masuk.

"Namun kita tetap berusaha sedaya-upaya," katanya.