Skip to main
Logo Malaysiakini

'Poster boy' Umno: Siapa pun jangan perasan sangat, kata Puad

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beberapa jam selepas Annuar Musa membayangkan Umno bakal menggunakan Ismail Sabri Yaakob sebagai 'daya penarik' parti itu untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang, salah seorang anggota majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu tampil membuat sanggahan.

Menurut Mohd Puad Zarkashi, ada orang sudah mendahului keputusan pati dengan menamakan watak yang akan diangkat sebagai poster boy Umno ketika parti terbabit belum membuat sebarang keputusan.

Membayangkan rasa tidak senangnya, bekas ahli parlimen Batu Pahat itu sebaliknya menjelaskan ciri-ciri yang perlu ada pada individu yang layak diangkat sebagai poster boy partinya.

"Poster boy mesti (boleh) menjamin kemenangan parti dalam PRU.

"Dia dipilih kerana ketokohannya, polisinya dan pembela rakyat. Bukan lembik, ikut cakap orang dan lambat buat keputusan," katanya dalam satu kenyataan di media sosial malam ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan siapakah individu yang dimaksudkan "lembik" oleh Mohd Puad itu.

Pagi tadi Annuar membuat kenyataan hasil mesyuarat MKT Umno malam tadi menunjukkan bayangan bahawa Ismail Sabri akan dijadikan watak utama mewakili Umno untuk PRU ke-15.

Ikut saja keputusan parti

Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia menambah, isyarat itu juga sekali gus menunjukkan bahawa naib presiden Umno itu adalah calon perdana menteri daripada parti itu.

"Pemakluman setiausaha agung Umno pascamesyuarat MKT yang lalu, bahawa MKT terus memperkasakan kepimpinan dan kedudukan Ismail Sabri adalah satu manifestasi kebijaksanaan MKT.

"Mesyuarat MKT jelas membuat endorsement (saranan) bahawa Ismail Sabri akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14, pada tahun 2023. 

"Bukan itu saja, malah MKT turut menunjukkan isyarat bahawa Ismail Sabri adalah poster boy PRU15, sekali gus merupakan calon perdana menteri daripada Umno selepas PRU ke-15 nanti," katanya.

Untuk rekod sejak Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan daripada kerajaan dan Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan baru, Annuar menjadi watak yang dilihat kurang disenangi sesetengah pihak dalam parti berkenaan.

Hal itu kerana bekas ketua penerangan Umno Malaysia itu dianggap sangat memihak kepada Bersatu ketika hubungan parti berkenaan dengan Umno semakin tegang.

Mohd Puad berkata semua pihak dalam Umno perlu bertindak dengan wajar dan tidak berlebih-lebihan daripada parti.

"Sesiapa pun jangan perasan sangat. Jangan lebih sudu daripada kuah. Masuk bakul angkat sendiri. Ikut saja keputusan parti," katanya.