Skip to main
Logo Malaysiakini

Hakim dikaitkan dakwaan salah laku seksual tuntut Lokman mohon maaf

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Hakim Syariah Mohd Na'im Mokhtar - yang baru-baru ini dikaitkan dengan dakwaan salah laku seksual - memberi masa 24 jam kepada ahli politik Lokman Adam untuk memohon maaf.

Dalam surat tuntutan yang dihantar melalui firma Akberdin & Co hari ini, hakim itu memberitahu Lokman supaya segera menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan itu dan memadamnya daripada platform media sosial dan laman web.

Selain membuat permohonan maaf secara terbuka, Lokman juga diberitahu untuk menawarkan hakim "jumlah yang munasabah" sebagai penyelesaian bagi ganti rugi dan rasa malu yang didakwa disebabkannya.

Jika tidak, firma guaman itu berkata ia telah diarahkan untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Lokman.

Surat itu dibuat sebagai respons kepada video Lokman yang dikatakan diterbitkan melalui akaun Facebook dan Youtube pada 10 Jan, di mana Lokman mendakwa hakim itu telah mengganggu secara seksual beberapa wanita dan mempersoalkan kredibilitinya.

“Kami diarah untuk menyatakan bahawa kenyataan berunsur fitnah tersebut jelas digerakkan oleh niat jahat, kebencian dan/atau dendam.

“Kami selanjutnya diarahkan untuk menyatakan bahawa kenyataan fitnah itu adalah tidak berasas, direkayasa, tidak benar, rekaan sepenuhnya, dan/atau telah diputar belit dan cenderung untuk memenuhi agenda peribadi dan/atau politik anda sendiri,” kata firma guaman itu.

Sebelum ini, dilaporkan polis sedang menyiasat dakwaan seorang wanita yang sudah berkahwin bahawa Mohd Na'im telah melawat rumahnya pada Ogos 2020, di mana dia tinggal bersama suaminya yang terlantar di katil.

Dia mendakwa dia telah memberi kebenaran kepada hakim untuk menggunakan bilik tidurnya untuk menunaikan solat, tetapi apabila dia tidak keluar untuk beberapa lama, wanita itu masuk dan mendapati dia berbaring di atas katilnya tanpa memakai pakaian.

Mohd Na'im telah membuat laporan polis menafikan dakwaan itu, mendakwa ia adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkannya.