Skip to main
Logo Malaysiakini

Isham beri bayangan PRN Johor 'tiga atau empat bulan' lagi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin BN secara terbuka membayangkan Johor mungkin mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil bahkan menyatakan keyakinannya yang Umno mampu memenangi sehingga 42 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Johor.

Berucap dalam majlis pertemuan dengan veteran Umno Johor semalam Isham berkata selepas ancaman Covid-19 reda dan hampir semua rakyat negara ini mendapat suntikan vaksin, PRN wajar diadakan.

Bekas pegawai khas Najib Razak itu juga mengakui dia lebih suka PRN diadakan lebih awal dan berasingan daripada pilihan raya umum.

“Kita buat PRN Johor dulu sebelum PRU ke-15, insya Allah, dalam tiga atau empat bulan ini,” katanya.

Petikan ucapan Isham selama hampir satu jam itu dimuat naik di akaun media sosialnya hari ini.

Untuk rekod ketika ini kerajaan Johor dipimpin oleh Umno dengan sokongan Bersatu dan PAS. Dengan kematian Adun Kempas, Osman Sapian, pada 21 Dis tahun lalu, gabungan itu memiliki 28 kerusi DUN berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

PH sebelum ini menyatakan pendirian mereka yang tidak mahu PRN diadakan.

Isham berkata antara sebab mengapa PRN wajar diadakan di Johor ialah kerana kerajaan selalu terganggu oleh "pengkhianat" dalam kerajaan.

“Macam mana kita nak buat keputusan di peringkat dasar apabila orang (dari) puak pengkhianat Umno, iaitu Bersatu, selalu mengganggu,” katanya sambil memberikan contoh dalam isu pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Isham juga meramalkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan terlepas kerusi Pagoh dalam PRU akan datang berdasarkan pola pengundian yang ada dan kecenderungan yang dilihat pada PRN Melaka 20 Nov tahun lalu.

Dia meramalkan dalam PRU akan datang Muhyiddin hanya akan memperoleh kira-kira 8,000 undi daripada lebih 51,000 undi di Pagoh.