Skip to main
Logo Malaysiakini

Suruhanjaya Sekuriti akan 'temu bual' adik bos SPRM - laporan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dilaporkan akan memanggil Nasir Baki untuk "temu bual" berikutan pendedahan bahawa dia telah membeli saham menggunakan akaun dagangan milik abangnya - Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Memetik "sumber yang rapat dengan perkara itu", The Malay Mail melaporkan bahawa Nasir akan dipanggil "tidak lama lagi" untuk memberikan penjelasannya.

Ia juga melaporkan bahawa urus niaga kewangan oleh Nasir dan Azam akan diteliti untuk kemungkinan pelanggaran Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, juga dikenali sebagai Sicda.

SC telah dihubungi untuk mendapatkan pengesahan dan ulasan.

SC minggu lalu berkata bahawa ia akan menghubungi Azam bersama "semua pihak yang terlibat" untuk mengumpulkan penjelasan dan bukti bagi kes itu.

Seksyen 25 Sicda menyatakan bahawa setiap akaun dagangan mestilah sama ada atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau penama yang diberi kuasa.

Seksyen 29A juga menyatakan bahawa semua urusan mestilah oleh pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.

Kesalahan di bawah Seksyen 25 boleh dihukum denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Azam mendapat kecaman baru-baru ini selepas didedahkan bahawa dia memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat senaraian awam - Excel Force MSC dan Gets Global Berhad - pada 2015 dan 2016.

Azam merupakan ketua bahagian siasatan SPRM ketika itu.

Pada 5 Jan, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang mengadakan sidang media untuk mempertahankan Azam, menjelaskan bahawa saham itu dibeli oleh Nasir menggunakan akaun dagangan Azam.

Azam menegaskan bahawa dia telah memindahkan saham itu kepada Nasir dan dengan itu tidak melakukan "apa-apa kesalahan".

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang lebih banyak kritikan selain persoalan sama ada Azam telah melanggar Sicda dan sama ada Abu Zahar telah bertindak di luar kuasanya.

Azam juga telah dipanggil ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Azam telah menyaman pemberi maklumat K Lalitha atas dakwaan memfitnah selepas dia menulis tentang skandal pemilikan sahamnya.

Saman itu telah mengundang lebih banyak kritikan terhadap Azam.