Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa takut sangat Muda bantu rakyat? - Syed Saddiq

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan rasa kesal selepas partinya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak dibenarkan membantu mangsa banjir di kawasan itu.

Dia mempersoalkan apakah tindakan itu bertujuan menghalang Muda daripada meneruskan aktivitinya.

Dalam video yang disiarkan secara langsung malam tadi, Syed Saddiq berkata Pejabat Daerah Muar telah menolak permohonan Muda untuk membantu membersihkan rumah yang dilanda banjir pada hujung minggu akan datang. Tiada alasan diberikan pejabat daerah berkenaan.

Pejabat Daerah Muar juga menolak permohonan Muda untuk mengagihkan barangan isi rumah kepada mangsa banjir, melainkan mereka  memberikan senarai nama penerima.

"Yang lebih memualkan adalah double standard yang paling tertinggi. Dua darjat dalam pelaksanaan ini.

"Kerana ada banyak gambar-gambar tular menunjukkan pemimpin PN, Umno, parti politik lain dah boleh masuk rumah ke rumah. Pakai baju politik mereka bersihkan rumah.

"Tapi bagi Muda tak boleh. Muda nak buat (bantu mangsa banjir) kena siasat. Muda mohon secara baik kena tolak mentah-mentah,” katanya.

Pada 8 Jan lalu, Syed Saddiq memaklumkan bahawa pihak polis menyiasat enam sukarelawan Muda kerana menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Johor - tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Dia memohon maaf atas kejadian itu tetapi berharap pihak berkuasa  melonggarkan peraturan bagi memastikan bantuan dapat sampai kepada lebih ramai mangsa banjir.

Semalam, Syed Saddiq menyifatkan layanan berbeza yang diberikan terhadap Muda sebagai satu bentuk hipokrasi dan mempersoalkan sama ada kerajaan negeri Johor pimpinan Umno berada di sebalik langkah itu.

“Ini tidak adil.

“Soalan saya kepada kerajaan negeri Johor: mengapa kamu begitu takut untuk membenarkan kami membantu rakyat?” soalnya.

Malaysiakini sedang menghubungi Majlis Daerah Muar untuk mendapatkan komen.

[Baca berita penuh]