Skip to main
Logo Malaysiakini

Saham Azam Baki: MP kemuka usul tergempar untuk bahas di Parlimen

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming hari ini mengemukakan usul tergempar agar Parlimen membahaskan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dalam sebuah syarikat tersenarai awam.

“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2), ini adalah perkara khusus dan mendesak yang mempunyai kepentingan awam dan usul ini mencadangkan agar Dewan yang mulia mengenai perkara ini dan meluluskan supaya Azam direhatkan dengan kadar segera sehingga siasatan penuh dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk polis,” kata Nga.

Dia berkata demikian dalam surat bertarikh 17 Januari 2021 yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Nga, yang merupakan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, turut memetik apa yang disebutkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Rasuah, Rais Yatim.

Nga menegaskan bahawa Rais pada 14 Januari berkata PSC mengenai Rasuah memutuskan ketua pesuruhjaya SPRM perlu bercuti sementara siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, Rais berkata terpulang kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk memutuskan sama ada Azam perlu bercuti atau tidak.

PSC mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menjadualkan mesyuarat pada Rabu ini untuk membincangkan pemilikan saham Azam dalam dua syarikat pada 2015.

Meskipun terdapat gesaan agar pendengaran mesyuarat itu dibuka kepada umum, Azhar berkata Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak membenarkan pendengaran terbuka dilakukan.

Namun Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Wong Kah Woh menyangkal kenyataan Azhar dan berkata speaker mempunyai kuasa untuk memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat dengan merujuk kepada Dewan untuk diputuskan, menurut Peraturan Mesyuarat 90(2).

Azam menjadi perhatian baru-baru ini selepas timbul dakwaan mengenai dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.