Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kita boleh lakukan lebih baik tanpa darurat', Kit Siang jawab Muhyiddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Daurat yang dilaksanakan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri terdahulu, Muhyiddin Yassin menyaksikan pandemik Covid-19 menjadi bertambah buruk tanpa adanya semak dan imbang terhadap kerajaan, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang

Lim mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa negara ini memerlukan darurat dari Januari hingga Ogos tahun lalu bagi menghadapi wabak Covid-19 yang "lebih dasyat daripada peperangan".

“Saya terkejut bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, masih cuba mewajarkan pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 yang melemahkan sepenuhnya pengawasan parlimen terhadap kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 sehingga bulan Ogos dan menjadikan Malaysia salah satu negara berprestasi paling teruk di dunia dalam berdepan pandemik Covid-19 selama dua tahun.

"Malaysia boleh menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam memerangi pandemik Covid-19 jika darurat tidak diisytiharkan pada 11 Januari tahun lepas," kata Lim dalam satu kenyataan.

Lim berkata ketika darurat diisytiharkan, terdapat sebanyak 2,232 kes baru Covid-19 dan empat kematian pada hari yang sama.

"Pada 1 Ogos 2021, hari terakhir darurat Covid-19, kes Covid-19 baru harian meningkat kepada 17,150 kes, meningkat lebih daripada lapan kali ganda, dan kematian Covid-19 harian meningkat kepada 160 kematian, meningkat empat puluh kali sejak Darurat diisytiharkan.

"Apakah jenis darurat untuk melawan pandemik Covid-19 ini?" soal Lim.

Lim mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi untuk menyiasat bagaimana darurat menjejaskan usaha negara dalam memerangi Covid-19.

Muhyiddin, Dalam temu bual dengan akhbar The National yang berpangkalan di Abu Dhabi baru-baru ini berkata darurat yang dikuatkuasakan adalah "sangat penting" untuk menguruskan wabak berkenaan.

"Orang ramai kata undang-undang darurat ini seperti berperang, tetapi saya memberitahu mereka ini lebih teruk daripada peperangan," katanya.