Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman berhubung kematian kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi didengar Jun ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saman berkenaan kematian lima kanak-kanak Orang Asli yang hilang di Pos Tohoi, Kelantan pada 23 Ogos 2015 akhirnya akan didengar pada 12 hingga 16 Jun ini.

Peguam dan pejuang hak Orang Asli, Siti Kasim berkata enam firma guaman terlibat dalam kes itu secara pro bono (percuma).

“Kami menuntut pampasan wang atas kecuaian pihak berkuasa yang membawa kepada kematian dan/atau kecederaan yang dialami kanak-kanak ini, serta ibu bapa mereka.

“Kami juga menuntut pengisytiharan untuk menegakkan hak kanak-kanak dan masyarakat Orang Asli berhubung pendidikan mereka.

“Firma guaman (yang terlibat) adalah Lee Hishammuddin Allen & Gledhill, YH Teh & Quek, Yeap & Ang, Christopher & Lee Ong, Chong & Kheng Hoe," katanya kepada Malaysiakini.

Firma guaman keenam yang terlibat adalah miliknya sendiri, iaitu Siti Kasim & Associates.

Dia berkata, saman pada mulanya difailkan pada 13 Ogos 2018 dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 12 hingga 16 Jun ini.

Pengurusan kes pula pada 25 Januari ini.

Dalam isu yang mengundang perhatian negara itu, tujuh kanak-kanak Orang Asli didapati hilang setelah lari daripada asrama SK Pos Tohoi di Gua Musang pada 2015.

Mereka berbuat demikian dipercayai kerana takut dihukum oleh guru mereka kerana mandi di sungai berhampiran tanpa kebenaran.

Dua daripada mereka, Noreen Yaakob and Miksudiar Aluj, ditemukan 47 hari kemudian pada 9 Okt.

Namun, adik kepada Noreen, Haikal, 9, dan kawan mereka Ika Ayel, 9, Juvina David, 7, Linda Rosli, 8, and Sasa Sobrie, 8, meninggal dunia ketika berada di dalam hutan.

Kecuali mayat Sasa, empat mayat yang lain yang berjaya ditemukan ditanam di kubur sama di Kampung Penad, Gua Musang, pada 25 Okt 2015.

Defendan termasuk kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan, serta pegawai dari Jabatan Pendidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan polis, termasuk pegawai yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.

[Baca berita asal]